Masalah Sekolah Terjejas Banjir Diatasi Segera – Muhyiddin
PUTRAJAYA – Kerajaan akan berusaha sedaya upaya memastikan segala kekurangan dan masalah dihadapi kira-kira 300 sekolah yang terjejas banjir akan diselesaikan sebelum sesi persekolahan bermula pertengahan bulan ini, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan berkata, ia bagi membolehkan sesi persekolahan di sekolah yang terjejas itu dapat berjalan lancar.
Jika perlu, beliau berkata pelajar di sekolah terjejas juga mungkin menumpang di sekolah berhampiran untuk tempoh waktu tertentu bagi memastikan mereka tidak terlepas daripada sesi pembelajaran.
“Itu langkah sementara, tumpang sekolah lain, kalau sebulan dua, mungkin boleh, tapi kalau setahun tidak boleh,” katanya dalam ucapan sebelum menyempurnakan pelepasan konvoi 120 sukarelawan Kementerian Pendidikan di hadapan bangunan kementeriannya di sini, sebentar tadi.
Hadir sama, Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh.
Muhyiddin berkata, pada peringkat pemulihan dan baik pulih ini, tempohnya adalah amat kritikal memandangkan sesi persekolahan hanya akan bermula tidak sampai sebulan lagi.
“Tugas untuk baik pulih sekolah yang terjejas adalah amat kritikal sekali. Malah kosnya juga tinggi, Kos (baik pulih) awal yang dikira RM350 juta, kalau ikut tafsiran sebenar, mungkin lebih,” katanya.
Justeru itu, beliau berharap 50,000 sukarelawannya yang sudah mula digerak ke kawasan terjejas mewakili pelbagai kumpulan termasuk pelajar universiti diharap dapat menyempurnakan tugasnya sebelum sesi persekolahan bermula.
Sementara itu, Muhyiddin turut menafikan khabar angin kononnya sesi persekolahan ditangguhkan sebulan, sebaliknya ia kekal seminggu seperti yang dimaklumkan kementeriannya sebelum ini. – BH Online
Tahukah anda terdapat satu cara untuk jimatkan penggunaan kredit telefon anda? Jom lihat plan ini