Gambar Reuters
SAO PAULO 14 Mac – Supermodel, Gisele Bundchen berhasrat untuk bersara dari dunia peragaan selepas pertunjukan fesyen terakhirnya, di sini, bulan depan, lapor akhbar harian O Estado de Sao Paulo, semalam.
Pertunjukan fesyen terakhir Bundchen, 34, dijadual berlangsung pada 13 hingga 17 April ini untuk jenama Colcci sempena Minggu Fesyen Sao Paulo.
Akhbar berkenaan melaporkan, Bundchen yang mula menjadi model sejak dua dekad lalu dan tersenarai sebagai model yang menerima bayaran paling tinggi, merancang untuk kekal aktif dalam sesi fotografi dan kempen fesyen sahaja selepas ini.
Isteri kepada pemain ragbi Amerika Syarikat, Tom Brady itu kini sedang sibuk mempromosikan produk pakaian dalam wanita miliknya iaitu Gisele Bundchen Intimates.
Dalam satu temubual baru-baru ini, Bundchen berkata, dia berhasrat untuk menghabiskan lebih banyak masa dengan keluarga terutamanya selepas memiliki dua cahaya mata.
Majalah Forbes pada Ogos lalu melaporkan sepanjang tahun 2013, Bundchen meraih pendapatan sebanyak AS$47 juta (RM173.92 juta), sekali gus menjadikannya model yang menerima bayaran paling lumayan selama lapan tahun berturut-turut. – DPA