Tony Abbot berharap Jokowi akan telefonnya
Sydney: Perdana Menteri Australia, Tony Abbot kelmarin masih berharap Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) akan menghubunginya selepas beliau tidak memberi pengampunan terhadap dua pengedar dadah dari negara itu.
Kali terakhir Abbot bercakap melalui telefon dengan Jokowi kira-kira dua minggu lalu dan beliau masih berharap untuk mendapat satu lagi peluang.
Ketika ini hukuman mati terhadap dua pengedar dadah warga Australia, Myuran Sukumaran, 33, dan Andrew Chan, 31, masih ditangguhkan sementara menunggu proses rayuan selesai.
“Jokowi berpendapat isu berkenaan (pengampunan) sudah dibincangkan tetapi permintaan saya untuk satu lagi panggilan telefon masih kekal dan sekarang ini terpulang kepada beliau,” kata Abbot.
Keluarga kedua-dua lelaki itu diberi peluang melawat mereka di penjara di pulau Nusakambangan semalam, yang ketiga sejak dipindahkan ke lokasi hukuman mati berkenaan.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pembangkang Australia, Tanya Plibersek berkata, hubungan negara itu dengan Jakarta sudah lama terjejas akibat dasar kerajaan Abbot yang mengusir bot membawa pencari suaka politik daripada masuk ke negara itu.
Ketua staf Jokowi, Luhut Pandjaitan dalam satu kolum di akhbar The Straits Times kelmarin memberitahu bahawa, Jakarta tidak membantah tindakan Camberra melobi pengampunan dua pesalah berkenaan.
“Kami membantah sikap dan nada dalam campur tangan ini serta amaran dan ugutan yang terselindung dari Australia.
“Ini tidak dapat diterima. Indonesia tidak mengamalkan taktik seperti ini,” tegasnya.
Tambahnya, beliau juga berharap ‘perasaan marah yang tercetus daripada episod itu akan berlalu’ kerana Indonesia mementingkan hubungan baik dengan jirannya.
Pihak berkuasa Indonesia masih menunggu proses rayuan 10 pesalah dadah termasuk warga Australia berkenaan selesai sebelum hukuman mati dijalankan ke atas mereka.
Hukuman mati di Indonesia dilaksanakan oleh skuad penembak.
Menteri Luar Australia, Julie Bishop kelmarin berkata, dua warga Australia itu membuat rayuan selepas pengampunan mereka ditolak.
Mereka juga membuat rayuan di suruhanjaya perundangan berhubung dakwaan berlakunya rasuah ketika perbicaraan.
“Saya tidak dapat bayangkan sekiranya hukuman terhadap mereka ini akan tetap dijalankan sementara terdapat lagi saluran undang-undang yang belum dilaksanakan,” katanya. - Agensi
Tahukah anda terdapat satu cara untuk jimatkan penggunaan kredit telefon anda? Jom lihat plan ini