Kamal Adli Anggap Tuduhan Malas Promosi Filem Tidak Berasas
PETALING JAYA: Pelakon Kamal Adli menyelar dakwaan kononnya dia enggan mempromosikan filem lakonannya di laman sosial seperti Facebook dan Instagram sehingga menjejaskan kutipan di pawagam.
Kamal berkata, tuduhan tersebut tidak berasas kerana sebagai artis dia menjalankan tanggungjawab untuk mempromosikan filem lakonannya kepada peminat di laman sosial dan mempersoalkan tujuan pihak yang menyebarkan fitnah tersebut.
"Saya tahu filem mana yang dimaksudkan dan saya menafikan tuduhan kononnya saya tidak pernah mempromosikan filem dimaksudkan di laman sosial milik saya. Anda boleh semak sendiri di Isntagram saya.
"Saya pelik bagaimana isu sebegini boleh timbul sedangkan saya tidak lakukan seperti mana didakwa," katanya kepada mStar Online.
Kamal mengulas laporan ruangan gosip sebuah akhbar mingguan pada minggu lalu yang mendakwa dia malas mempromosikan filem lakonannya walaupun telah diminta oleh pihak penerbit untuk berbuat demikian.
Dalam pada itu, Kamal memberitahu, sekiranya pertikaian itu dibuat oleh pihak produksi mereka sepatutnya lebih memahami bahawa tugas promosi bukan tanggungjawab pelakon malah ia tidak termaktub dalam kontrak yang ditandatangani.
Bagaimanapun kata Kamal, sebagai pelakon dan orang yang terlibat dalam sesuatu tersebut adalah menjadi perkara biasa apabila artis turut sama-sama mempromosikan sesebuah karya itu tidak kira secara bertemu peminat atau pun menerusi laman sosial.
"Setiap produksi mempunyai bajet tersendiri untuk mempromosikan filem mereka dan tidak boleh hanya bergantung harap kepada artis sahaja untuk melariskan filem.
"Apabila ia gagal mendapat perhatian penonton di pawagam pelakon pula disalahkan," katanya.
Sementara itu, Kamal berkata, dia enggan memanjangkan isu berkenaan kerana tidak mengetahui dalang disebalik penyebaran fitnah berkenaan terhadapnya.
"Sekiranya pihak produksi filem berkenaan merasakan saya bersalah, saya mohon maaf dan telah mencuba sedaya upaya untuk mempromosi filem berkenaan," katanya.-mStar
Tahukah anda terdapat satu cara untuk jimatkan penggunaan kredit telefon anda? Jom lihat plan ini