Lokasi Gelap & Berlumpur, Operasi Cari QZ8501 Ditangguh
Operasi mencari pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 di dasar laut terpaksa dihentikan sementara petang ini berikutan lokasinya di Selat Karimata, Kalimantan Tengah berlumpur dan gelap, kata Ketua Badan Mencari dan Menyelamat Nasional Indonesia (Basarnas) Bambang Soelistyo, seperti dilaporkan media republik itu, Kompas.com.
Bambang dipetik sebagai berkata pasukan penyelam yang mula menjalankan tugas kira-kira jam 8.20 (waktu Indonesia) ketika cuaca lebih baik daripada semalam tidak dapat meneruskan pencarian kerana suasana di dasar laut gelap menyebabkan jarak pandangan terbatas.
Kompas.com melaporkan 2 penyelam dari Kapal Republik Indonesia Banda Aceh diturunkan ke kawasan utama di Selat Karimata tetapi pada masa ini hujan lebat menyebabkan gelombang besar.
“Ada 9 kapal di laut berada di kawasan di mana objek dipercayai berada sebelum melakukan penyelaman semula jika keadaan mengizinkan,” kata Bambang.
Bambang dilaporkan berkata jarak pandangan semakin terbatas kerana lumbur tebal menyebabkan dasar laut gelap walaupun menggunakan alat pengesan dasar laut.
Katanya, keadaan bertambah buruk kerana arus deras mencecah antara 3 hingga 5 knot.
“Jadi, pasukan penyelam terpaksa menghentikan sementara operasi mencari dan mungkin menyambung semula jika keadaan jadi lebih baik,” katanya, lapor Kompas.com. – The malaysian Insider
Tahukah anda terdapat satu cara untuk jimatkan penggunaan kredit telefon anda? Jom lihat plan ini