Mangsa serangan panda dapat pampasan RM307,000
Beijing: Seorang lelaki yang menyaman kerajaan tempatan selepas diserang panda liar mendapat pampasan 520,000 yuan (RM307,000).
Walaupun nampak comel dan bersifat lembut, panda sebenarnya sejenis beruang dan gigitannya boleh menyebabkan kecederaan.
Dalam kejadian itu, panda berkenaan tersesat memasuki pekan Liziba di wilayah Gansu ketika pekerja majlis perbandaran yang cuba menangkapnya mengejarnya ke tanah milik Guan Quanzhi.
“Saya melihat panda itu di depan saya dengan badannya dipenuhi lumpur,” kata Guan.
Menurutnya, haiwan itu menggigitnya di kaki dan hanya melepaskannya selepas seorang lagi penduduk kampung menutup muka panda itu dengan kotnya.
Akibat kejadian Mac tahun lalu itu, Guan mengalami kecederaan teruk menyebabkan kakinya terpaksa dijahit dalam proses yang mengambil masa tujuh jam.
Panda itu bagaimanapun berjaya melepaskan diri.
Anak lelaki Guan menyaman pihak berkuasa perhutanan dan Taman Negara Baishuijiang yang menjadi tempat tinggal lebih 100 panda liar.
Menurut peguamnya Wang Chaohui, hasil perbincangan dan rundingan, pihak yang disaman bersetuju untuk membayar pampasan kepada Guan.
Guan berkata, dia berpuas hati dengan jumlah itu kerana dapat membantu kos rawatan perubatan. - AFP
Tahukah anda terdapat satu cara untuk jimatkan penggunaan kredit telefon anda? Jom lihat plan ini