Dakwaan paras air Empangan Tasik Kenyir berbahaya tidak benar - MB
KUALA TERENGANU: Dakwaan segelintir pihak kononnya paras air di Empangan Tasik Kenyir berada pada paras berbahaya dan air akan dilepaskan, sekali gus memburukkan lagi banjir terutama di kawasan Hulu Terengganu, adalah tidak benar dan disangkal kerajaan negeri.
Menteri Besar, Datuk Ahmad Razif Abd Rahman, berkata paras air di empangan itu ketika ini berada pada paras biasa dan pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) Terengganu sudah memaklumkan kepada kerajaan negeri yang mengesahkan keadaan masih terkawal.
"Air di empangan itu sehingga kini tidak dilepaskan dan ia tidak benar seperti didakwa oleh pihak tertentu yang hanya satu pembohongan.
"Penduduk dinasihatkan jangan mempercayai dakwaan palsu itu kerana TNB sudah memaklumkan kepada kerajaan negeri, pihaknya tidak akan melepaskan air di empangan itu," katanya ketika diminta mengulas ada penduduk mempercayai kononnya TNB akan melepaskan air di Empangan Tasik Kenyir, Hulu Terengganu bagi mengurangkan tekanan air yang mungkin boleh memberi kesan kepada sistem takungan empangan itu ketika banjir sekarang.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Penyampaian Bantuan Nelayan dan Persatuan Penambang Seberang Takir, di sini, hari ini. Yang turut hadir Pengarah Perikanan negeri, Abdul Khalil Abdul Karim. - BH Online
Tahukah anda terdapat satu cara untuk jimatkan penggunaan kredit telefon anda? Jom lihat plan ini