Letupan mungkin disebabkan bahan lain, bukan tong gas - Bomba
GURUN: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah tidak menolak kemungkinan letupan di sebuah rumah di Taman Ria Mesra, di sini yang mengorbankan tiga beranak petang tadi berpunca daripada sejenis bahan letupan.
Pengarahnya, Ahmad Shahabuddin, berkata ini berdasarkan pengamatan impak letupan di lokasi kejadian oleh pihak bomba ketika melakukan kerja pemadaman sebaik tiba di lokasi kejadian jam 4.57 petang.
"Ketika menjalankan pemeriksaan, kita mengenal pasti impak yang cukup kuat terutama kesan kesan lubang pada dinding rumah terbabit yang diyakini berpunca daripada bahan letupan dan bukannya letupan tong gas memasak seperti yang didakwa.
"Buat masa sekarang kita masih menjalankan siasatan dan kita juga sudah meminta bantuan daripada Skuad Bom Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk memeriksa lokasi kejadian kerana khuatir masih terdapat bahan letupan di dalam rumah terbabit," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, sebentar tadi.
Dalam kejadian itu, seorang lelaki yang juga anggota tentera dan dua anaknya maut, manakala isterinya pula dilapor parah selepas rumah mereka digegarkan dengan letupan kuat.
Difahamkan, selain menyebabkan rumah mangsa terbakar, sekurang-kurangnya lapan kediaman lain berdekatan turut terjejas akibat impak letupan kira-kira jam 4.50 petang itu, malah dua kereta turut musnah.-Berita Harian
Tahukah anda terdapat satu cara untuk jimatkan penggunaan kredit telefon anda? Jom lihat plan ini