Ribuan penunjuk perasaan di New York tuntut keadilan bagi kematian rakyat kulit hitam
NEW YORK: Beribu-ribu orang membanjiri jalan raya di sini dan menutup 'Brooklyn Bridge' bagi mengecam tindakan polis menyebabkan kematian suspek kulit hitam dalam beberapa kes berasingan sejak Julai lalu.
Bantahan masuk malam kedua di bandar raya terbesar Amerika ini yang mempunyai 8.4 juta penduduk berikutan keputusan juri kelmarin untuk tidak mendakwa anggota polis kulit putih berhubung kematian seorang lelaki kulit hitam, Eric Garner.
Kematian Garner Julai lalu adalah kejadian pertama dalam beberapa kejadian lain yang juga menyaksikan polis menembak mati seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun di Cleveland bulan lalu dan keputusan juri untuk tidak mendakwa anggota polis kulit putih di Missouri yang menembak mati remaja kulit hitam Ogos lalu.
Beribu-ribu aktivis berhimpun beramai-ramai di 'Foley Square' New York berdekatan ibu pejabat polis di bandar raya ini sambil melaungkan slogan dan membawa sepanduk 'Nyawa kulit hitam juga penting' dan 'Sifat perkauman membunuh'.
Polis New York menutup jalan di 'Holland Tunnel', iaitu jalan utama ke New Jersey, manakala saluran televisyen tempatan melaporkan beribu-ribu orang lagi berarak ke Manhattan.
Sekumpulan penunjuk perasaan pula berarak di seberang 'Brooklyn Bridge' dengan 10 keranda berwarna hitam yang tertera nama mereka yang terkorban dalam kejadian yang ada kaitan dengan polis.
Barack Obama, presiden kulit hitam pertama Amerika Syarikat baru-baru ini menyentuh mengenai ketidakpercayaan rakyat kulit hitam terhadap polis dengan berkata:
"Kami lihat ini sebagai masalah rakyat Amerika dan bukan sekadar masalah rakyat kulit hitam atau masalah rakyat kulit coklat." - AFP
Tahukah anda terdapat satu cara untuk jimatkan penggunaan kredit telefon anda? Jom lihat plan ini