Sham XPDC meninggal dunia, selamat dikebumikan
BEKAS pemain dram kumpulan rock tanah air, XPDC menghembuskan nafas terakhir di Hospital Kuala Kangsar, petang semalam.
Ahmad Hishamsul Yahya, 42, atau lebih dikenali sebagai Sham XPDC selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Baru, Kuala Kangsar, pagi tadi.
Urusan pengebumian arwah selesai kira-kira jam 11.00 pagi tadi yang turut dihadiri sanak saudara serta kenalan arwah.
Menurut salah seorang sepupu arwah yang enggan dikenali, Sham XPDC menghidap penyakit jantung dan meninggal dunia disebabkan penyakitnya itu.
Ujarnya, kesihatan sepupunya itu tidak begitu teruk namun kadangkala penyakitnya itu menyerang dan terpaksa mendapatkan rawatan di hospital.
"Arwah kerap juga membuat rawatan susulan di Kuala Lumpur bagi merawat penyakitnya itu. Bila penyakitnya menyerang, memang arwah kelihatan lemah saja.
"Malam kelmarin, arwah tidak boleh tidur sampai 3.00 pagi disebabkan sakitnya itu. Kemudian rakannya datang mengurut, barulah arwah boleh tidur lena.
"Tengahari semalam, arwah rasa semakin teruk dan mengadu lapar. Arwah hanya sempat jamah tiga suapan sebelum terus dibawa ke hospital," katanya.
Sham XPDC melakar nama dalam industri hiburan selepas kumpulan rock yang turut digelar Real XPDC itu menjadi kegilaan ramai pada suatu masa dahulu.
Beliau kemudiannya menceburkan diri dalam bidang lakonan dan antara watak yang diingati adalah ketika arwah membawa watak sebagai salah seorang anggota kumpulan Malaikat Maut dalam filem Rock. - Sinar Harian
Tahukah anda terdapat satu cara untuk jimatkan penggunaan kredit telefon anda? Jom lihat plan ini