Tujuh Pelumba Basikal Terengganu Berentap Di Indonesia
KUALA TERENGGANU – Persatuan Lumba Basikal Terengganu (PLBT) menghantar tujuh pelumba menyertai Kejohanan Lumba Basikal LCC Grand Prix Indonesia ke-2 di Semarang, Indonesia bermula 16 hingga 22 Disember ini.
Tujuh pelumba itu diketuai Afiq Huznie Otham, Sharul Afham Rosdi, Asyraf Naim Ying, Nur Aiman Zariff, Zulhilmi Hadi Zulkurnain, Ummi Hamimah Mohd dan Aimi Iwasaki M Moritoshi.
Ketua jurulatihnya, Syed Mohd Hussaini Syed Mazlan, berkata pihaknya menghantar dua pelumba wanita dan lima lelaki untuk kejohanan itu.
Katanya, kejohanan itu juga adalah perlumbaan pemanas badan kerana ada dalam kalangan tujuh pelumba baru kembali ke pangkuan pasukan berikutan memberi tumpuan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) baru-baru ini.
“Kesemua tujuh pelumba ini juga adalah atlet yang akan membawa cabaran kontinjen Terengganu di temasya Sukan Malaysia (SUKMA) tahun depan dan SUKMA Sarawak 2016 nanti.
“Kita harap kejohanan ini dapat memberi pendedahan berguna kepada mereka untuk bangkit semula selepas lama tidak beraksi di pentas luar negara,” katanya di sini, semalam.
Ditanya sasaran di kejohanan itu, Syed Mohd Hussaini berkata, pihaknya memang mahu memperolehi keputusan terbaik pada perlumbaan itu nanti.
“Kita tengok dulu laluan macam mana, tetapi Insya-Allah kami buat yang terbaik di sana nanti.
“Saya yakin dengan beberapa pelumba yang baru pulang menyertai perlumbaan di Sarawak baru-baru ini dapat menyinar sekali gus mengharumkan nama Terengganu,” katanya. – BH Online
Tahukah anda terdapat satu cara untuk jimatkan penggunaan kredit telefon anda? Jom lihat plan ini