Bacaan
Hangat
Terkini
Viral

Pulau Mayat Di Terengganu Simpan 1001 Rahsia

No Comment


BIARPUN sejarahnya masih dalam kajian, nama Pulau Mayat yang merupakan antara pulau kecil di sekitar Pulau Wan Man akan menarik perhatian setiap pelancong yang berkunjung ke situ untuk menaiki River Cruise.

Menurut Eksekutif Taman Tamadun Islam (TTI) River Cruise, Mohd Nazir Mat Tahir, pulau berkenaan yang kini dikenal sebagai Pulau Che Yok dinamakan Pulau Mayat kerana suatu ketika dahulu terdapat banyak mayat terdampar di situ.

Katanya, faktor geografi dan laluan air menyebabkan banyak mayat, kebanyakan adalah mangsa lemas dari bot nelayan asing yang dibawa arus terdampar di pulau itu.

“Disebabkan banyak mayat mangsa lemas terdampar itulah lantas diberi nama Pulau Mayat oleh penduduk sekitar suatu masa dahulu,” katanya.

Mohd Nazir berkata, Pulau Mayat yang keluasannya kira-kira 0.8 hektar tidak berpenghuni, namun suatu ketika dahulu, ada seorang individu dikenali sebagai Che Yok merupakan satu-satunya penghuni di pulau itu.

Menurutnya, sehingga kini, tiada siapa tahu salasilah keluarga Che Yok sama ada dia mempunyai cucu cicit atau keturunannya yang masih ada.

“Selepas Che Yok, memang tiada orang berani tinggal di pulau yang asalnya hutan paya bakau itu. Tiada yang berani ke situ terutama pada waktu malam kerana kawasan itu gelap gelita. Yang pernah singgah di pulau itu setakat ini hanyalah nelayan tempatan.

“Dahulunya, setiap pulau di sekitar Pulau Wan Man mempunyai bangsal untuk membuat gula melaka termasuklah di Pulau Mayat. Tak tahu mengapa, mungkin ada sebab selepas era kegemilangan pembuatan gula melaka sekitar 1980-an, pulau itu sudah tidak berpenghuni,” katanya.
Kelibat wanita tahan perahu

Mohd Nazir berkata, berdasarkan cerita dari mulut ke mulut, pulau itu sebenarnya berpenunggu dan disebabkan itulah tiada yang berani ke situ.

“Ada cerita saya dengar daripada orang dulu-dulu, sekiranya lalu kawasan itu, akan ada wanita menahan perahu sambil minta ditumpangkan ke seberang (ke daratan). Anehnya, setelah perahu sampai ke daratan, wanita itu tiada (hilang).

“Mungkin cerita-cerita yang didengar itu menguatkan lagi kepercayaan bahawa pulau tersebut mempunyai penunggu. Kesahihan cerita di sebaliknya masih lagi dalam kajian dan misteri itu tidak terungkai sehingga kini,” katanya.

Menurut Mohd Nazir, selain Pulau Mayat, terdapat lima pulau kecil berhampiran Pulau Wan Man iaitu Pulau Sekati, Pulau Besar, Pulau Haji Siah, Pulau Duyong dan Pulau Pasir.

Katanya, Pulau Sekati adalah pulau yang agak besar dengan kepadatan penduduk sekitar 300 orang, manakala Pulau Besar pula tiada penduduk dan hanya ada sebuah padang yang dikunjungi anak muda tempatan untuk bermain bola.

Asal-usul Pulau Haji Siah

“Pulau Haji Siah pula berasal daripada nama sebuah keluarga yang tinggal di pulau itu, malah sehingga kini terdapat keturunan Haji Siah yang masih menetap di sebuah rumah di pulau itu.

"Haji Siah sebenarnya adalah seorang wanita yang mula-mula menerokai kawasan pulau itu,” katanya.

Kata Mohd Nazir, Pulau Haji Siah yang seluas 17.6 hektar itu dua kali ganda lebih besar daripada Pulau Wan Man dan ia sebenarnya berasal dari Pulau Besar tetapi terpisah disebabkan faktor keadaan geografi dan cuaca.

“Haji Siah ada meninggalkan anak setelah dia meninggal dan sehingga kini rumahnya masih ada di pulau itu dan keluarganya lah satu-satunya penghuni di pulau itu. Namun, ada cerita mengatakan sebahagian tanahnya telah dijual tetapi tidak pasti kepada siapa.

“Mungkin nama Haji Siah kedengaran pelik, tetapi bagi orang dahulu kala, gelaran haji juga diberikan kepada kaum wanita seperti yang biasa kita dengar nama Mak Aji dan seumpamanya,” katanya.

Katanya lagi, keluarga Haji Siah dahulunya giat mengusahakan pembuatan gula melaka dan kelapa salai, malah selepas wanita itu meninggal, dia mewariskan kepada anak-anaknya, namun kini pembuatan gula melaka dan kelapa salai sudah tidak diusahakan lagi.

Mengulas mengenai Pulau Pasir, Mohd Nazir berkata, sejarahnya ringkas sahaja kerana pulau itu asalnya tidak begitu besar, namun setelah kerja-kerja pendalaman Sungai Terengganu dan pasir dikumpulkan di pulau itu menyebabkan ia semakin luas.

Pulau Wan Man sempena nama peneroka

Ditanya pula mengenai nama Pulau Wan Man yang cukup dikenali sehingga ke peringkat antarabangsa, Mohd Nazir berkata, ia berasal daripada nama seorang peneroka pulau bernama Wan Abdul Rahman.

Katanya, Pulau Wan Man yang berkeluasan 8.92 hektar itu sebenarnya adalah hutan paya bakau yang tidak mempunyai nama sehinggalah ia diteroka oleh Wan Abdul Rahman bersama seorang lagi rakannya yang tidak diketahui namanya sekitar 1970-an.

“Wan Abdul Rahman sebenarnya tidak tinggal di pulau ini, sebaliknya dia tinggal di Pulau Sekati dan di Pulau Wan Man ini dia mengusahakan pembuatan gula melaka atau lebih dikenal sebagai ‘menyadat nisan’ yang begitu terkenal suatu ketika dahulu.

“Pulau ini juga asalnya juga banyak pokok nipah yang boleh menghasilkan gula," katanya.

Menurutnya, pada mulanya tiada jalan untuk menghubungkan pulau berkenaan dengan daratan dan jalan perhubungannya pula berakhir di Kampung Losong Feri.

Sehinggalah pada 2005 katanya, setelah TTI dibina, jalan ditambak untuk menghubungkan pulau tersebut dengan daratan.

"Kalau dahulu untuk ke Pulau Wan Man terpaksa naik perahu dan setelah adanya jalan perhubungan, perahu tidak digunakan lagi.

“Pada peringkat awal, jalan untuk menghubungkan daratan dengan Pulau Wan Man hanyalah jalan kecil. Pada 1980-an, tanah pulau ini diambil alih oleh kerajaan dan pampasan dibayar kepada dua individu terawal yang menerokai pulau tersebut,” katanya.

Mohd Nazir berkata, Pulau Wan Man terbahagi kepada dua zon iaitu Zon A dan Zon B di mana di Zon A terdapat taman monumen sebanyak 23 buah daripada 21 negara yang menceritakan mengenai sejarah ketamadunan Islam.

“Di Zon B pula, kawasan awam seperti Masjid Kristal, Pusat Konvensyen TTI, River Cruise yang berpusat di Jeti Tokku Paloh dan Laman Selera B'Benteng,” katanya. - Sinar Harian
Tahukah anda terdapat satu cara untuk jimatkan penggunaan kredit telefon anda? Jom lihat plan ini
Blogger ( 0 ulasan )

Facebook ( comments)

Sedang Hangat

©2014 Siakapkeli