Thien How Keluar BAM, Boon Heong Sakit Hati
Pemain beregu lelaki negara, Tan Boon Heong mengakui kecewa dengan tindakan yang dibuat oleh pasangannya, Hoon Thien How yang bertindak meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) berkuatkuasa semalam.
Menurut Boon Heong, , tindakan yang dilakukan oleh bekas regunya itu akan mengundang pelbagai masalah terutamanya untuk mencari pasangan baharu yang serasi dengan corak persembahan dipraktikkan.
“Sememangnya saya sakit hati dengan tindakan dia, lebih-lebih lagi tahun ini adalah tahun penting kerana ada banyak kejohanan termasuk All England Mac depan.
“Tapi, dia sudah dewasa dan tahu apa yang terbaik untuk masa depannya. Saya cuma boleh mengucapkan selamat maju jaya dan berharap pilihan yang dibuat itu adalah tepat.
“Jadi, sekarang terpulang pada jurulatih untuk mencari pemain yang sesuai untuk bergandingan dengan saya,” katanya ketika ditemui di Arena Of Star, Genting Highland.
Dalam laporan media tempatan hari ini, BAM mengesahkan dua pemain beregu lelaki utama, Thien How dan Lim Khim Wah menghantar surat untuk meninggalkan skuad negara.
Menurut Pengurus Besar BAM, Kenny Goh, punca kedua-dua pemain itu mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan kerana merasakan mereka tidak mampu untuk meningkatkan prestasi pada tahap lebih tinggi di bawah kendalian BAM.
Sementara itu, mengulas mengenai kejayaannya yang menumbangkan pasangan dari Kelab Badminton Petaling BC, Chen Jia Huo-Shia Chun Kang dengan straight set 11-5, 11-6 dan 11-5, Boon Heong berkata, beliau masih kurang berpuas hati dengan rentak cemerlang yang dipamerkan.
“Angin yang terlalu kuat menganggu permainan saya, tapi saya tetap berpuas hati dengan semangat kerjasama yang ditunjukkan pasangan saya,” katanya.
Kepong BC berjaya mara ke pentas separuh akhir selepas mengalahkan Kelab Badminton Petaling BC dengan kutipan mata keseluruhan sebanyak 13-7 dan akan bertemu Cheras BC esok. - Sinar Harian
Tahukah anda terdapat satu cara untuk jimatkan penggunaan kredit telefon anda? Jom lihat plan ini