Kain rentang yang digantung di beberapa tempat menyokong Kon Yeow sebagai ketua menteri akan datang. |
Itu gesaan Pengerusi DAP Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berhubung tindakan pihak tertentu menggantung kain rentang menyatakan sokongan kepadanya sebagai tokoh yang bakal menduduki kerusi ketua menteri selepas ini.
Beliau yang juga Exco Kerajaan Tempatan, Kawalan Lalu Lintas dan Tebatan Banjir, berkata tindakan itu mempunyai agenda tersembunyi yang mahu melihat hubungannya dengan Ketua Menteri, Lim Guan Eng dan DAP renggang.
“Saya percaya, pihak yang melakukan perkara ini ada tujuan tertentu tetapi tidak tahu apa motifnya. Mereka memang ada niat yang tidak baik apabila sengaja menggantung kain rentang itu.
“Saya yakin, ada pihak cuba merenggangkan hubungan saya dengan Guan Eng sekali gus DAP. Saya minta tindakan itu tidak diteruskan lagi kerana ia tidak relevan dengan situasi di Pulau Pinang,” katanya kepada Sinar Harian selepas melancarkan sistem pengurusan pelan bangunan secara online semalam.
Terdahulu, negeri ini dikejutkan dengan kemunculan sekurang-kurangnya empat kain rentang dalam bahasa Inggeris yang bertulis ‘Support Chow Kon Yeow For Next Chief Minister’ (sokong Chow Kon Yeow sebagai Ketua Menteri akan datang).
Kon Yeow berkata, kedudukan Guan Eng sebagai ketua menteri tidak perlu dipertikaikan lagi kerana dipilih rakyat dan parti.
“Walaupun ada niat mahu memilih saya sebagai ketua menteri selepas ini, ia tidak akan tercapai kerana sokongan padu diberikan kepada beliau.
“Isu ini sebenarnya tidak timbul hanya ada pihak yang tidak bertanggungjawab sengaja membangkitkan perasaan tidak senang terhadap kepimpinan kerajaan negeri,” katanya.
Ditanya adakah ia tindakan pengikutnya, Kon Yeow berkata, pengikutnya tidak akan melakukan perkara sia-sia seperti itu.
“Saya pasti pengikut saya tak akan buat,” katanya. - Sinar Harian