WARGA asing membaca akhbar keluaran negara mereka yang boleh didapati di pasaran tempatan untuk pekerja asing di sekitar Kuala Lumpur. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali |
Tanpa berselindung, akhbar asing itu dijual secara terbuka di atas kaunter di premis perniagaan dimonopoli warga asing.
Penerbitan dan pengedarannya dibimbangi boleh menimbulkan ancaman kepada keselamatan negara kerana akhbar yang diterbitkan dalam bahasa asing itu, tidak dikawal dan dipantau kandungannya.
Ia juga dikatakan membuka ruang kepada penularan elemen subversif dan propaganda kelompok tertentu serta kandungannya tidak ditapis, selain mengandungi bahan lucah dan tidak sesuai dengan norma masyarakat di negara ini.
AKHBAR asing ini dengan jelas mengaitkan kes pembunuhan kejam warga Myanmar di Pulau Pinang baru-baru ini dengan masalah perkauman di Rakhine, barat Myanmar. - Foto Asyraf Hamzah |
Ada juga akhbar memaparkan gambar bogel selebriti wanita, selain ada akhbar atau penerbitan asing ini mengiklankan jenama arak yang menyalahi peraturan di negara ini.
Lebih membimbangkan, ada akhbar asing yang dijual pada harga RM3.50 senaskhah disertakan dengan video cakera padat (VCD) yang mengandungi bahan penyiaran dari negara asal mereka. - BH Online