Kemunculan pemuzik jalanan Caliph Buskers yang tampil menyampaikan lagu Romancinta pada AJL 29 baru-baru ini berjaya menambat hati penonton yang rata-rata terkejut dengan kemunculan itu.
Malah, kehebatan vokalis Caliph Buskers itu juga turut dipuji oleh bekas vokalis kumpulan Mojo, Aweera.
“Saya ucapkan tahniah kepada Mojo dan Caliph Buskers kerana persembahan pada malam ini (kelmarin) sangat hebat.
“Apa yang lebih mengejutkan saya, bila mendengar sendiri keupayaan vokalis Caliph Buskers yang mampu membawakan lagu RomanCinta dengan baik. Saya memang kagum dengan bakatnya yang luar biasa.
Walaupun kurang upaya, tapi kehebatannya memang tidak dapat dinafikan,” ujarnya memetik laporan dari Sinar Harian.
Aweera juga turut menyatakan dia akur kerana tidak berpeluang untuk beraksi bersama Mojo pada malam itu dan menganggap itu bukan rezekinya.
“Saya tidak ralat dengan apa yang berlaku. Walaupun ada peminat yang sedikit kecewa saya tidak membuat persembahan, tapi mungkin ini bukan rezeki saya dan selepas apa yang berlaku saya perlu teruskan hidup.
“Saya tidak mahu bercakap lebih mengenai perkara yang berlaku dan bagi saya selepas ini saya perlu kuat dan merendah diri. InsyaALLAH, satu hari nanti kami akan bertemu kerana Tuhan itu maha adil,” tuturnya.
Aweera juga turut menyatakan terima kasihnya kepada peminat yang tampil memberikan semangat kepadanya di akaun Instagram rasminya selain memuji kehebatan Caliph Busker.
Selain itu, Aweera yang kini tampil sebagai penyanyi solo berada di bawah naugangan Sony Music juga turut memperkatakan perkembangan terbaru di dalam karier muziknya. Menurutnya, dalam masa terdekat, dia akan tampil dengan single terbaru ciptaannya sendiri.
“Jika tidak ada apa-apa halangan, dalam masa terdekat ini saya akan muncul dengan sebuah single Terhakis hasil ciptaan saya sendiri, " katanya. - Siakapkeli.com.my