Jangan Salahkan Pihak Lain Jika Disiasat SPRM
KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin diminta tidak menyalahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sekiranya beliau dipanggil oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk disoal siasat.
Ketua UMNO Bahagian Subang, Datuk Zein Isma Ismail berkata, Daim seharusnya memahami desakan agar beliau disiasat berhubung dakwaan memiliki kekayaan luar biasa itu hanya setelah ditimbulkan oleh para pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Menurut beliau, Daim juga sepatutnya sedar para pemimpin UMNO tidak akan berdiam diri sekiranya mana-mana pihak melemparkan tuduhan tidak berasas terhadap Najib.
“Daim mesti ingat bahawa jika media propembangkang sanggup memberi ruang kepada sesiapa sahaja untuk menyerang Perdana Menteri, media arus perdana pun boleh menggunakan kaedah yang sama untuk menyiarkan maklum balas.
“Saya berharap Daim menggunakan saluran yang betul melalui pemimpin-pemimpin UMNO atau bekas-bekas menteri untuk menyampaikan pandangan atau teguran membina kepada parti dan kerajaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Kelmarin, Daim menyatakan kesediaannya untuk bekerjasama dengan SPRM dalam siasatan terhadap perniagaan perbankan miliknya di luar negara.
Isu itu dibangkitkan oleh Naib Presiden PKR, Shamsul Iskandar Mohd. Akin dan beliau telah mengemukakan beberapa maklumat berkaitan dakwaan kekayaan luar biasa Daim kepada SPRM pada 14 April lalu. - Utusan Online
Tahukah anda terdapat satu cara untuk jimatkan penggunaan kredit telefon anda? Jom lihat plan ini