Antara pembaca Setia novel Alaf 21 dari Singapura yang tidak ketinggalan menyerbu Karnival Mini anjuran Kumpulan Media Karangkraf di Angsana pada Oktober tahun lalu. |
Salah satu kompleks membeli belah di bandar raya ini, Angsana Johor Bahru Mall menjadi tumpuan warga Singapura untuk membeli-belah.
Ketua Pegawai Operasi Uda Angsana, Mohd Nazri Jamiran berkata, berdasarkan respons diterima oleh penyewa lot kedai di kompleks membeli belah terbabit, purata 50 hingga 60 peratus pelanggan yang datang membeli-belah merupakan rakyat republik itu.
“Memang benar, salah satu faktor menyebabkan warga Singapura datang membeli-belah ke Johor Bahru disebabkan kadar mata wang mereka. Justeru berasa lebih berbaloi untuk berbelanja di sini kerana kuasa beli yang ada.
“Kuasa beli di sini adalah berbeza jika dibandingkan di Kuala Lumpur, untuk di bandar raya ini peniaga yang menjual barangan berjenama terpaksa bergantung dengan kedatangan rakyat dari negara jiran itu untuk berbelanja,” katanya.
Beliau berkata, walaupun kehadiran pembeli Singapura pada hari tertentu sekadar 30 hingga 40 peratus namun membabitkan transaksi jualan yang agak memberangsangkan.
“Sebelum ini, berlaku penyusutan terhadap jumlah kehadiran pelanggan daripada Singapura apabila berlaku kenaikan kadar tol di Kompleks Kastam Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) pada Ogos tahun lalu.
Bagaimanapun, kesan kejatuhan RM menyebabkan Warga Singapura kembali semula ke Bandaraya ini untuk membeli-belah sekali gus pendapatan peniaga di Angsana turut terjejas.
Mohd Nazri berkata, kesan positif daripada pertambahan pelanggan Singapura ia turut membantu meningkatkan pendapatan peniaga tempatan sekali gus mampu meningkatkan taraf hidup masing-masing.
Beliau berkata, hasil hubungan dua hala antara Johor-Singapura yang baik memberi peluang untuk rakyat di kedua-dua negara menikmati limpahan ekonomi yang tersedia. - Sinar Online