Bacaan
Hangat
Terkini
Viral

Kenyataan Akhbar Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Berkenaan Isu Epal Dicemari Bakteria

No Comment

Berikutan isu buah epal Granny Smith dan Gala yang telah menyebabkan kematian di Amerika dan Kanada baru-baru ini, Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia telah mengeluarkan kenyataan akhbar mengenai isu tersebut.

Sebelum ini Siakapkeli ada menyiarkan isu tersebut di Facebook Siakapkeli dan mendapat respon dari pengikut Siakapkeli yang rata-rata bimbang akan isu terbabit memandangkan kedua-dua epal ini dijual secara meluas di Malaysia.

Baca : Epal Jenis Granny Smith dan Gala Disekat Dari Masuk Ke Malaysia

Berikut adalah kenyataan rasmi Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia berkenaan perkara ini - Siakapkeli.com.my

KENYATAAN AKHBAR KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA: ISU BUAH EPAL GRANNY SMITH DAN GALA KELUARAN SYARIKAT BIDART BROTHERS, BAKERSFIELD, CALIFORNIA, AMERIKA SYARIKAT DICEMARI LISTERIA MONOCYTOGENES

Kementerian Kesihatan mengambil maklum isu pencemaran bakteria Listeria monocytegenes ke atas buah epal jenis Granny Smith dan Gala keluaran Syarikat Bidart Brothers, Bakersfield, California, Amerika Syarikat yang digunakan dalam pengeluaran caramel apple yang dikesan oleh pihak United States Food and Drug Administration (USFDA) seperti yang dilaporkan dalam beberapa media antarabangsa sejak kebelakangan ini.

Makanan yang tercemar dengan Listeria monocytogenes berkemungkinan tidak menunjukkan sebarang tanda bahawa ianya telah rosak secara fizikal (melalui penglihatan dan bau). Pengambilan makanan yang tercemar dengan bakteria ini boleh menyebabkan penyakit bawaan makanan yang dikenali sebagai listeriosis. Listeriosis boleh menyebabkan demam kuat, sakit kepala yang teruk, kekejangan pada leher dan loya (nausea). Bagi wanita mengandung, warga emas dan mereka yang mempunyai sistem imun yang lemah adalah tergolong dalam kumpulan berisiko.

Sebagai langkah berjaga-jaga, Kementerian Kesihatan telah mengenakan pemeriksaan tahan, uji, lepas ke atas pengimportan epal jenis Granny Smith dan Gala keluaran Syarikat Bidart Brothers, Amerika Syarikat di semua pintu masuk. Di pasaran domestik, Kementerian Kesihatan telah mengenalpasti dua (2) pengimport yang mengimport epal jenis Granny Smith keluaran Syarikat Bidart Brothers, Amerika Syarikat dan telah mengarahkan pengimport berkaitan memanggil balik (recall) buah epal tersebut dari pasaran dan buah epal yang terdapat di premis pengimport juga telah disita. Dalam masa yang sama, Kementerian Kesihatan sedang bekerjasama dengan pihak USFDA mengenai perkara ini.

Seksyen 13 Akta Makanan 1983 memperuntukkan mana-mana pihak yang terlibat mengimport, mengedar, menyimpan atau menjual makanan yang ada dalam atau padanya apa-apa bahan yang beracun, merosakkan atau selainnya memudaratkan kesihatan adalah melakukan kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

Sekiranya pengguna mempunyai sebarang pertanyaan, pengguna boleh mengajukannya kepada Kementerian Kesihatan melalui Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) atau Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) terdekat atau melalui laman web http://fsq.moh.gov.my atau facebook BKKM www.facebook.com/bkkmhq.

Datuk Dr. Noor Hisham bin Abdullah

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia

17 Januari 2015
Tahukah anda terdapat satu cara untuk jimatkan penggunaan kredit telefon anda? Jom lihat plan ini
Blogger ( 0 ulasan )

Facebook ( comments)

Sedang Hangat

©2014 Siakapkeli