Lelaki Palestin Tikam Penumpang Bas Di Tel Aviv
TEL AVIV – Seorang lelaki Palestin bersenjatakan pisau menyerang penumpang sebuah bas di sini semalam dengan menyebabkan sekurang-kurangnya 12 orang cedera sebelum dia ditembak oleh seorang pengawal penjara, kata polis Israel.
Serangan itu adalah yang pertama di bandar raya ini sejak pertengahan November tahun lalu apabila seorang askar Yahudi mati ditikam oleh seorang penduduk Palestin.
“Seramai 12 orang cedera dalam serangan ini termasuk tiga parah,” kata sumber hospital.
“Lelaki itu berulang kali menikam pemandu bas tetapi mangsa melawan sebelum penyerang berlari keluar. Suspek ditembak oleh pengawal penjara berkenaan yang kebetulan melalui tempat kejadian,” kata polis dalam satu kenyataan.
Penyerang yang ditembak di kaki itu kemudian dibawa ke sebuah hospital untuk siasatan lanjut dan bagi mendapatkan rawatan.
Polis Israel mengenal pasti penyerang sebagai pemuda Palestin berusia 23 tahun dari Tulkarem, Tebing Barat yang tinggal secara haram di Israel.
Bercakap kepada stesen radio tentera, pengawal penjara itu yang dikenali sebagai Benny menceritakan kejadian tersebut.
“Kami melihat bas itu melencong dan berhenti di sebuah lampu isyarat.
“Tiba-tiba, kami melihat penumpang berlari keluar sambil menjerit meminta tolong. Kami bergegas keluar dari kereta, saya dan tiga yang lain mula mengejar penyerang tersebut.
“Pada mulanya kami melepaskan tembakan ke udara, kemudian kami menembak kakinya,” kata Benny.
“Penyerang itu rebah, kami menggari dan menyerahkannya kepada polis,” tambah pengawal penjara berkenaan. – AFP
Tahukah anda terdapat satu cara untuk jimatkan penggunaan kredit telefon anda? Jom lihat plan ini