Gelagat pelajar UMK bersorak kegembiraan sebaik tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, hari ini. |
Pengerusi Sekretariat Mahasiswa Kedah di UMK, Mohd Zarif Ramli berkata, kejadian banjir di negeri itu adalah satu bencana yang amat dahsyat.
“Di Jeli tidak semua kawasan dinaiki air tetapi bekalan makanan terputus. Bekalan air bersih, elektrik dan talian telefon juga terputus.
“Hampir seminggu kami hidup dalam kegelapan dan tiada bekalan air. Hanya mengharapkan air hujan semata-mata,” katanya kepada media di sini, hari ini.
Menurutnya, sebagai inisiatif, mereka terpaksa mengambil ikan patin yang terdapat di kolam UMK sebagai sumber makanan harian.
“Kejadian ini umpama kami hidup di sebuah pulau yang penuh kegelapan dan tiada sebarang bekalan makanan,” katanya.
Mohd Zarif berkata, mereka yang menuntut di UMK Kampus Jeli kemudian dipindahkan ke Kampus Bachok beberapa hari kemudian.
“Alhamdulillah, di sana (Bachok) semua kemudahan disediakan dengan baik. Kami sudah boleh makan ayam,” katanya.
Pelajar Ijazah Sarjana Keusahawanan Perdagangan, Nur Afida Afifi Zainol berkata, kejadian banjir di Kelantan adalah merupakan satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan.
“Kami terpaksa redah air banjir pada paras leher hanya untuk ambil barang-barang di dalam bilik sebelum pindah ke UMK Kampus Bachok.
“Semasa redah air itu, macam-macam terjadi. Ada yang terpaksa paut tangan orang lain, pada dinding dan sebagainya,” katanya.
Nur Afida berkata, meninjau semula kampus selepas air mula surut ternyata jauh perbezaan keadaannya berbanding asal.
“Kami lihat lumpur penuh di sekeliling kampus. Buku-buku pun semua rosak dan kami rugi sangat-sangat,” katanya.
Syafiq Hashim pula berkata, kejadian banjir di negeri itu bermula dengan hujan lebat pada waktu malam.
“Tiba-tiba elektrik terputus. Pada mulanya kami sangka elektrik mungkin terputus untuk beberapa hari, tetapi lain pula jadinya.
“Kami dimaklumkan elektrik tidak ada, air tidak ada dan ada juga jalan yang runtuh. Empat hari kami tinggal dalam kegelapan dan lapar,” katanya. - Sinar Harian