Peniaga Tipu Alat Penimbang
KUALA LUMPUR - Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (PPDNK KWPKL) mengeluarkan kompaun berjumlah RM13,800 terhadap 76 peniaga menerusi Ops Catut yang dilaksanakan sejak 1 Januari lepas.
Penolong Pengarah Kanan Bahagian Penguatkuasa PPDNKK WPKL, Amran Daud berkata, kompaun yang dikeluarkan itu adalah hasil pemeriksaan ke atas 10,231 peniaga.
Menurutnya, ia meliputi kesalahan kegagalan meletakkan tanda harga dan juga timbang sukat.
“Peniaga yang tidak letakkan tanda harga beri macam-macam alasan antaranya penanda harga mereka basah kena hujan.
“Tapi kita tahu ia taktik yang digunakan oleh peniaga untuk naikkan harga ikut suka hati,” katanya ditemui selepas menjalankan pemeriksaan Ops Catut di Pasar Chow Kit, Jalan Raja Alang, di sini, malam kelmarin.
Seramai 59 peniaga dikenakan kompaun kerana tidak mempamerkan tanda harga, 17 peniaga melakukan kesalahan melibatkan alat penimbang, manakala 14 yang lain dikenakan notis tunjuk sebab kerana menjual pada harga tinggi.
Terdahulu, dalam operasi berkenaan, sebanyak 14 gerai menjual sayur diperiksa berikutan terdapat aduan daripada orang ramai berhubung penjualan sayur dengan harga mahal.
Amran berkata, kesemua gerai yang diperiksa didapati melanggar peraturan iaitu 13 kes melibatkan kes tidak letak tanda harga dan satu kes alat penimbang tiada pelekat tanda penentusahan.
“Bagi kes alat penimbang tiada pelekat penentusahan dikenakan kompaun bawah seksyen 14(6) Akta Timbang dan Sukat 1972, manakala bagi kesalahan tidak letakkan tanda harga tindakan dijalankan di bawah Perintah 3 (1) perintah kawalan harga (Penandaan harga oleh penjual runcit 1993),” katanya.
Operasi sama akan diteruskan melibatkan kawasan perniagaan sama, dan kawasan-kawasan lain bagi memastikan peniaga mematuhi peraturan yang ditetapkan seterusnya tidak mengambil kesempatan terhadap pengguna. - Sinar Harian
Tahukah anda terdapat satu cara untuk jimatkan penggunaan kredit telefon anda? Jom lihat plan ini