Petisyen kepada Agong kerana yakin Anwar tidak bersalah
KUALA LUMPUR 25 FEB: Keluarga Anwar Ibrahim menghantar petisyen memohon pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong kerana yakin Ketua Umum KEADILAN itu tidak bersalah dan merupakan tahanan politik.
“Atas inisiatif keluarga, kami memutuskan untuk menghantar petisyen kepada Duli Yang Maha Mulia Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah berdasarkan berlakunya pengenepian prinsip-prinsip keadilan dan pembelaan daripada penganiayaan fitnah ke atasnya.
“Mahkamah mungkin telah menjatuhkan hukuman bersalah tetapi, namun ayahanda kami tidak bersalah. Justeru itu kami membuat permohonan petisyen bersandarkan Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan,” kata anak kedua Anwar, Nurul Nuha dalam kenyataan.
Penyelaras Kempen March 2 Freedom itu berkata, mereka juga yakin tanpa campur tangan politik, keadilan akan ditegakkan dalam kes bapanya.
“Kami meletakkan keyakinan kepada proses perlembagaan ini serta percaya prinsip keadilan akan ditegakkan apabila kesemua fakta-fakta diteliti secara menyeluruh tanpa campur tangan politik mahupun mana-mana cabang kerajaan bersesuaian dengan prinsip pemisahan kuasa melalui intitusi Raja Berperlembagaan.
“Bagi pihak keluarga kami, saya dengan penuh rasa rendah diri ingin menyampaikan rasa terharu dan bersyukur ke hadrat Ilahi dengan sokongan dan semangat solidariti daripada rakan-rakan serta para penyokong di dalam dan dari luar negara,” kata Nurul Nuha lagi.
Petisyen tersebut dikemukakan anggota keluarga Anwar di Istana Negara pada semalam. ─ KeadilanDaily
Tahukah anda terdapat satu cara untuk jimatkan penggunaan kredit telefon anda? Jom lihat plan ini