IS bunuh sembilan orang dipercayai pengintip
London: Militan Negara Islam (IS) membunuh sembilan orang lagi yang didakwa pengintip di satu lokasi yang tidak diketahui di Asia Barat.
Setiap mangsa dipaksa memberi kenyataan dengan mengaku mereka mengintip lokasi, pergerakan dan senjata kumpulan itu sebelum mereka dibunuh.
Dengan mata ditutup dan tangan diikat ke belakang, semua mangsa itu dibawa keluar oleh kumpulan lelaki bertopeng.
Mangsa kemudian diarah melutut sementara pistol diacu pada kepala mereka sebelum tembakan dilepaskan.
Dalam video terbaru yang dimuat naik ke Internet oleh IS, seorang komander kumpulan berkenaan berkata, semua lelaki itu dihukum mati kerana ‘mengkhianati agama Allah.’
Menurutnya, IS menangkap pengintip itu yang ditugaskan mengawasi lokasi IS dan melaporkan kepada ketua mereka.
“Kami rujuk kes mereka kepada seorang hakim. Selepas mengumpulkan bukti, mereka dihukum mati kerana mengkhianati agama Allah,” katanya.
Dalam kenyataan yang dibuat sebelum dibunuh, setiap mangsa, mungkin selepas dipaksa, mengaku mengintip.
Kerakyatan dan pekerjaan mereka bagaimanapun tidak didedahkan. Tetapi sebahagiannya jelas kelihatan terketar-ketar ketika bercakap dalam bahasa Arab.
Ini video kedua menunjukkan IS melaksanakan hukuman mati sepanjang minggu lalu. Dalam video pertama, lapan lelaki yang juga didakwa mengintip, ditembak mati. - Agensi
Tahukah anda terdapat satu cara untuk jimatkan penggunaan kredit telefon anda? Jom lihat plan ini