Aplikasi dan peranti yang berkebolehan untuk membaca minda bukanlah sesuatu perkara yang baru. Sekiranya anda belajar dalam bidang neurologi, anda pasti akan tahu berkenaan aktiviti otak kita seharian yang turut mengeluarkan gelombang yang boleh dipantau. Namun kebiasaannya pemantauan ini memerlukan alat saintifik yang kompleks dan Emotiv telahpun berada didalam arena ini, namun ingin membawakan teknologi ini kepada umum dan hadir dengan peranti yang lebih mesra kepada orang awam. Di Mobile World Congress kami berkesempatan mencubanya di reruai IEEE (Institute of Electrical & Electronical Engineers) yang mengadakan pertandingan lumba kereta menggunakan gelombang otak.
Peranti Emotiv Insight ini berfungsi melalui pemantauan ‘Electroencephalography‘ atau dengan singkatan EEG. Ia merupakan pemantauan gelombang elektrik keatas kulit kepala dan menerusi perasaan, pemikiran, keadaan minda si-pemakai akan mempengaruhi gelombang elektrik pada neuron dan berupaya memberikan bacaan.
Sebelum perlumbaan dimulakan, saya diberikan penerangan berkenaan cara peranti ini berfungsi. Apa yang saya perlu lakukan adalah berehat dan menenangkan fikiran kerana peranti ini akan mengesan tahap elektrik neuron apabila minda berada dalam keadaan tenang. Setelah berjaya menenangkan diri, peranti tersebut akan menyatakan yang saya telahpun tenang dan telah merekodkan bacaan asal. Kemudian, saya diperlukan untuk memberi arahan untuk menggerakkan tayar pada kenderaan tersebut dan hanya dengan memikirkan perkara tersebut ( memikirkan tayar bergerak ) kereta tersebut akan bergerak menuju ke garisan penamat.
Nampak macam senang namun ia merupakan sesuatu perkara yang susah. Bagi menetapkan minda kepada status tenang agak senang kerana saya tidak perlu fikirkan apa-apa namun apabila ingin menyuruh tayar bergerak tanpa bercakap sepatah kata, ia merupakan satu perkara yang agak mencabar. Tekanan diberikan apabila saya turut berlumba dengan peserta lain, dan diberitahu terdapat hadiah ditawarkan untuk pelumba paling pantas secara keseluruhan.
Arahan minda
Apabila pertandingan bermula, saya cuba untuk menggerakkan kereta tersebut namun tidak berjaya. Tetapi apabila saya cuba untuk gelak sedikit sambil mengarahkan tayar tersebut berputar, ia telah mula berputar. Kemudian apabila saya cuba untuk melajukan putaran, ia tidak berhasil sehinggalah saya gelak dan memikirkan saat-saat gembira, barulah saya berhasil untuk ke garisan penamat.
Apa yang saya rasa adalah berkemungkinan mesin tersebut tidak dapat mengesan gelombang elektrik neuron apabila terlalu banyak perkara yang difikirkan pada satu masa. Namun apabila saya memikirkan untuk memutarkan tayar tersebut, hanya dengan sedikit fikiran mengenai kegembiraan barulah tayar tersebut dapat berputar.
Mungkin dalam tempoh 5-10 tahun akan datang kita dapat melihat mesin yang dapat melakukan sesuatu perkara hanya melalui kuasa minda dari peranti seumpama ini namun bagi pendapat peribadi saya, ia mungkin sukar dilakukan oleh mereka yang sentiasa kusut fikirannya dan sentiasa memikirkan pelbagai hal pada satu masa. Apa yang pasti, teknologi berasaskan neurologi juga merupakan satu cabang teknologi masa hadapan. - Amanz.my