Kim Jong-un belajar pandu kereta usia tiga tahun
Koreo Utara: Korea Utara memperkenalkan buku teks sekolah baru yang mendakwa pemimpin Kim Jong-un belajar memandu sejak usia tiga tahun dan pernah memenangi perlumbaan kapal layar ketika berumur sembilan tahun.
Menurut stesen televisyen Korea Selatan YTN, mata pelajaran baru, ‘Aktiviti revolusi Jong-un’ adalah subjek baru yang akan diajar di sekolah rendah dan menengah dengan memfokuskan kehidupan serta pengalamannya.
Modul memfokuskan kehidupan pemimpin berusia 32 tahun itu - yang mengambil alih pemerintahan selepas kematian bapanya Kim Jong-il pada 2011 - juga mendakwa dia berbakat menggubah muzik.
Laman berita UPI melaporkan, guru ditugaskan untuk mengagungkan Jong-un.
Antara teks yang diajar menyebut: “Ketika berusia sembilan tahun, Jong-un mengalahkan ketua pegawai syarikat kapal layar asing yang melawat Korea Utara dalam satu perlumbaan.”
Dakwaan serupa dibuat mengenai ayahnya dan datuk Kim Il-sung yang juga pengasas Korea Utara - kedua-duanya disanjung rakyat negara itu.
Biografi Jong-il mendakwa kejayaannya membuat 11 ‘hole in one’ ketika pertama kali bermain golf, menyebabkan dia terus bersara serta tidak bermain sukan itu lagi.
Minggu lalu, Jong-un dilapor mengarahkan kumpulan khas terdiri daripada wanita muda diwujudkan semula untuk menghiburkannya berikutan tempoh berkabung tiga tahun sempena kematian ayahnya sudah berakhir. - Agensi
Tahukah anda terdapat satu cara untuk jimatkan penggunaan kredit telefon anda? Jom lihat plan ini