PM Najib Tinjau Pelaksanaan GST
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak meninjau pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan impak harga barangan kepada pengguna di pasar raya Giant di Kota Damansara, Petaling Jaya.
Dalam entri Facebooknya, beliau menulis: "Saya lihat harga barang di sini berpatutan dan barangan keperluan asas berkadar sifar seperti yang ditetapkan Kerajaan,".
Najib tiba kira-kira pukul 4.50 petang dan dilihat mengambil bakul untuk membeli beberapa barang keperluan seperti ubat gigi dan Milo.
Terdapat lima keping gambar dimuat naik di dalam Facebooknya, antaranya sedang membeli barangan, menunjukkan resit dan bergambar serta bersalaman dengan orang ramai di pasar raya itu.
Malaysia mula melaksanakan GST pada Rabu yang dilihat sebagai satu pembaharuan penting dalam usaha memperkukuh ekonomi negara dengan mengambil kira kepentingan rakyat.
Langkah itu menyaksikan Malaysia menyertai barisan lebih 160 negara di dunia yang telah memperkenalkan GST, termasuk tujuh negara rantau Asia Tenggara yang menganggotai Asean.
Pada kadar GST enam peratus - kadar yang paling rendah dalam kalangan negara Asean - kerajaan menyasarkan hasil dikutip untuk kegunaan pembangunan dan meningkatkan infrastruktur sosial. - mStar Online
Tahukah anda terdapat satu cara untuk jimatkan penggunaan kredit telefon anda? Jom lihat plan ini