Pondok Telefon Awam New York Lenyap 2015
NEW YORK – Tidak seperti zaman datuk, bapa dan golongan lahir sebelum 1990-an, mungkin generasi X, Y dan kini Z tidak pernah menggunakan pondok telefon awam walaupun ada melihatnya di tepi jalan sama ada rosak atau terbiar buruk.
Evolusi telekomunikasi juga bakal menyaksikan fasiliti itu akan tinggal sejarah apabila Datuk Bandar New York, Bill de Blasio semalam mengumumkan Big Apple itu menjadi kota raya pertama di dunia memansuhkan terus pondok tersebut bermula tahun depan.
Sebagai ganti, lebih 10,000 terminal sistem teknologi tinggi dikenali LinkNYC bakal ambil alih pondok itu yang menawarkan kemudahan intenet paling luas dan terpantas di bumi menerusi rangkaian akses WiFi secara percuma dari jarak lingkungan 45 meter.
Selain itu, bagi yang masih perlu buat panggilan jika telefon bimbit hilang, habis kredit prabayar atau disekat sebab tidak bayar bil pascabayar, jangan bimbang terminal tersebut boleh buat panggilan domestik dan lebih unik tanpa apa-apa caj dikenakan.
Setiap pondok LinkNYC dilengkapi set telefon selular paparan sentuh skrin dan tempat cas kuasa bateri tablet selain perkhidmatan panggilan kecemasan yang dimajukan firma teknologi CityBridge serta dilantik hasil tender jawatankuasa bandar raya New York.
Projek yang akan bermula akhir tahun ini ujar de Blasio, tidak melibatkan wang pembayar cukai tempatan kerana sumber dana diperoleh menerusi iklan digital dipaparkan di terminal LinkNYC dengan anggaran hasil lebih AS$500 juta (RM1.7 bilion) setahun.
“Pada masa ini, WiFi sudah ada di semua taman awam New York selain Chelsea menerusi inisiatif firma Google. Kami jangka ratusan peluang pekerjaan akan wujud melalui projek ini yang bakal hubung setiap kawasan bandar raya,” kata de Blasio. – Agensi
Tahukah anda terdapat satu cara untuk jimatkan penggunaan kredit telefon anda? Jom lihat plan ini