AirAsia QZ8501: Malaysia gerak aset tentera
SEPANG 28 Dis.- Malaysia telah menggerakan aset tentera dengan menghantar tiga kapal dan sebuah kapal terbang C-130 Hercules bagi membantu mencari dan menyelamat pesawat (SAR) QZ8501 yang dilaporkan hilang di Perairan Belitung, Indonesia.
Aset itu masing-masing dimiliki Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, usaha SAR diketuai Indonesia itu yang turut mendapat kerjasama Singapura, telah digerakkan setelah mendapat maklumat pesawat AirAsia QZ8501 hilang.
“Pusat Koordinasi Menyelamat QZ8501 dibuka di Pusat Kawalan Trafik Udara di Subang dalam usaha membantu mengesan pesawat milik AirAsia itu yang dilaporkan hilang sewaktu berlepas dari Surabaya, Indonesia ke Singapura pada pagi tadi.
“Oleh itu, saya minta semua pihak jangan buat sebarang spekulasi berhubung kehilangan pesawat ini dan mendoakan agar ia berjaya diketemukan serta semua penumpang terselamat,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Pesawat QZ8501 membawa 155 penumpang termasuk 138 dewasa, 16 kanak-kanak dan seorang bayi di samping krew kabin dan teknikal seramai lima orang itu berlepas pada pukul 5.20 pagi dan sepatutnya tiba di Singapura pada pukul 8.30 pagi. - UTUSAN ONLINE
Tahukah anda terdapat satu cara untuk jimatkan penggunaan kredit telefon anda? Jom lihat plan ini