Kanak-kanak Perempuan Hidap 'Wilson's Disease' Meninggal Petang Tadi
Kuala Lumpur: Nur Syamimi Liyana Mohammad Firdaus iaitu kanak-kanak berusia tujuh tahun yang menderita penyakit hati yang jarang ditemui dikenali ‘Wilson’s Disease’ meninggal dunia di Hospital Selayang, 3.45 petang ini.
Nur Syamimi dimasukkan ke hospital Unit Rawatan Rapi (ICU) selepas keadaan kesihatannya merosot apabila dipercayai diserang jangkitan kuman ketika sedang menunggu untuk menjalani pembedahan pemindahan hati.
Jenazah kemudian dimandikan dan disembahyangkan di Masjid Saidina Hamzah, Batu Muda dan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu Muda, Gombak, pada 8.30 malam.
Suasana hiba menyelubungi Bahagian Forensik Hospital Selayang apabila ibu, Nur Syuhada Tan, 31, dan ahli keluarga tidak dapat menahan kesedihan.
Pada 10 Jun lalu, Harian Metro melaporkan kebuntuan ayah arwah, Mohammad Firdaus Abdullah, berikutan pakar perubatan memberitahu agak sukar untuk mendapatkan penderma hati buat anaknya.
Mohammad Firdaus dipetik berkata: “Doktor pesan jaga anak baik-baik kerana bila-bila masa saja dia boleh mati. Dalam kes anak saya, dia tidak boleh menerima hanya sebahagian hati sebaliknya perlu mendapatkan keseluruhan hati yang hanya boleh diperoleh daripada penderma yang sudah meninggal dunia,” katanya.
Mohammad Firdaus yang berasal dari Sabah, namun sudah lebih 10 tahun menetap di ibu negara berkata, Nur Syamimi Liyana adalah anak bongsu daripada dua beradik.
Berikutan keadaan Nur Syamimi yang terlalu lemah ketika itu, Mohammad Firdaus terpaksa memberi perhatian 24 jam.
Pakar Hepatologi, Hospital Pantai Cheras, Dr Syed Redha Syed Nasir pula ditpetik berkata, Wilson’s Disease memang jarang berlaku dalam kalangan masyarakat di negara ini.
Beliau yang dihubungi bagi memperoleh penjelasan mengenai penyakit berkenaan ketika itu, mengesahkan penyakit genetik itu disebabkan terlalu banyak pengumpulan kuprum (copper) selalunya di otak atau hati yang menyebabkan sirosis hati.
Katanya, jika penyakit itu sudah pada tahap memerlukan pendermaan organ bermakna hati pesakit sudah tidak mampu untuk menampung keperluan badan sendiri. - myMetro
Tahukah anda terdapat satu cara untuk jimatkan penggunaan kredit telefon anda? Jom lihat plan ini