Lagak Suspek Bunuh 18 Warga Myanmar Seperti 'Sivaji The Boss'
BUKIT MERTAJAM: Lelaki yang dipercayai mengetuai kumpulan pembunuh warga Myanmar di Pulau Pinang didakwa berkarektor seperti watak filem Tamil, Sivaji The Boss kerana sering berkaca mata hitam serta mempunyai gaya tersendiri.
Seorang warga Indonesia yang mahu dikenali sebagai Anwar berkata, dia sering melihat suspek yang juga warga Myanmar dan tinggal bersebelahan rumahnya di Kampuang Pisang, Machang Bubuk, berkaca mata hitam dengan gaya tersendiri.
"Rambutnya panjang dan kadang-kadang berpakaian seperti pelakon Tamil, Rajinikanth ketika dalam filem Sivaji The Boss," katanya ketika melihat suspek keluar dan masuk rumah yang menjadi lokasi pembunuhan.
Bagaimanapun Anwar yang tinggal di situ sejak lapan tahun lalu tidak mengetahui pekerjaan suspek dan rakan-rakan.
"Dia lebih menyendiri. Dia hanya keluar dan masuk rumah sahaja, kadang-kadang ada wanita dipercayai isterinya turut bersama.
"Dia berpakaian kemas dan hanya akan melemparkan senyuman kepada penduduk di sini jika melintasi mereka. Dia tidak pernah bercakap dengan jiran-jiran," jelasnya.
Seorang lagi jiran suspek, Noorshah Siti Hazariah Awang berkata, dia terkejut apabila terdengar polis mengetuk pintu rumah berkenaan pada pagi Jumaat.
"Kami tidak tahu apa yang sebenarnya telah berlaku kerana polis hanya memberitahu 'kes berat'. Saya melihat polis membawanya (suspek) ke dalam kereta.
"Saya tidak pernah tahu jika ada pembunuhan berlaku di rumah yang terletak bersebelahan. Saya tidak pernah dengar bunyi bising dan sesuautu yang mencurigakan," cerita wanita terbabit.
Bagaimanapun katanya, terdapat ramai orang yang terdiri daripada warga Myanmar sering ke rumah tersebut.
Polis sebelum ini berjaya menahan 17 suspek bagi membantu siasatan pembunuhan 18 warga Myanmar di sekitar negeri tersebut.
Polis juga percaya pembunuhan mangsa telah dilakukan di kediaman tersebut setelah menemui beberapa parang panjang.-mStar
Tahukah anda terdapat satu cara untuk jimatkan penggunaan kredit telefon anda? Jom lihat plan ini