Bacaan
Hangat
Terkini
Viral

Indonesia tolak untuk tukar tahanan

No Comment


Jakarta: Indonesia semalam menolak cadangan Australia untuk menukar tahanan dalam usaha Canberra menyelamatkan dua warganya yang dijadual menjalani hukuman mati atas kesalahan menyeludup dadah beberapa hari lagi.

Kementerian Luar Indonesia berkata, tidak wujud asas perundangan untuk negara itu melayan cadangan yang dikemukakan Menteri Luar Australia Julie Bishop.

“Pada asasnya, Indonesia tidak mempunyai peraturan atau rangka perundangan mengenai pertukaran tahanan,” kata jurucakap kementerian Armanatha Nasir.

Menurutnya, cadangan itu dikemukakan kepada pihak berkuasa Indonesia dua hari lalu dan kerajaan sudah memberikan jawapan.

Dua warga Australia, Myuran Sukumaran, 33, dan Andrew Chan, 31, dijangka menjalani hukuman itu bersama-sama 11 pesalah lain, kebanyakannya warga asing, di Nusakambangan.

Julie, pada satu acara di luar bangunan Parlimen di Canberra berkata, dia mengemukakan cadangan menukarkan tahanan itu kepada Menteri Luar Indonesia beberapa hari lalu.

“Saya memberitahunya terdapat tahanan Indonesia di penjara Australia dan sama ada kami boleh menimbang untuk menukar tahanan.

“Saya hanya meminta supaya persediaan untuk melaksanakan hukuman mati ke atas Sukumaran dan Chan ditangguhkan seketika supaya pegawai kedua-dua negara mengkaji cadangan itu,” kata Julie.

Dalam pada itu, Perdana Menteri Tony Abbot berkata, beliau sekali lagi meminta untuk bercakap dengan Presiden Joko Widodo (Jokowi), semalam.

Bagaimanapun, dalam wawancara dengan stesen televisyen Al Jazeera, Jokowi berkata, pesalah berkenaan akan dihukum mati sedikit masa lagi, tetapi bukan minggu ini.

Jokowi mengambil sikap tegas terhadap penyeludup dadah dan mereka yang dihukum mati dengan menolak rayuan pengampunan.

Hukuman mati di Indonesia dilaksanakan semula pada 2013 selepas lima tahun terhenti dan rakyat dari Brazil, Malawi, Belanda, Nigeria serta Vietnam adalah antara mereka yang menjalani hukuman. - Agensi
Tahukah anda terdapat satu cara untuk jimatkan penggunaan kredit telefon anda? Jom lihat plan ini
Blogger ( 0 ulasan )

Facebook ( comments)

Sedang Hangat

©2014 Siakapkeli