Pas Tak Mampu Berdikari dan Terpaksa Berpaut Dengan Parti-Parti Lain
MUKADIMAH : kemelut politik antara pakatan pembangkang terutama dalam polemik hukum hudud melibatkan Pas bersama sekutu yang kini seteru, iaitu DAP dan PKR semakin memuncak dan kelam daripada sebarang usaha perdamaian. Lebih mengejutkan pemimpin utama mereka, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertahankan pendirian DAP dan PKR yang membenarkan kalimah Allah digunakan orang bukan Islam di Pulau Pinang.
Akibatnya ramai dalam kalangan pemimpin Pas melemparkan isyarat bahawa kerjasama antara mereka ini bakal berakhir jika tiada semangat menghormati pendirian pihak lain dilakukan. Malah anak Mursyidul Am parti itu, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz menegaskan bahawa Pas kini menjadi mangsa buli DAP dan PKR serta meminta mereka di dalam parti itu mengambil iktibar krisis politik pakatan di Selangor dan Pulau Pinang. Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Nasruddin Hassan pula menyatakan, penolakan hukum hudud oleh DAP menyebabkan tahaluf siyasi dalam pakatan pembangkang terbatal. Untuk itu wartawan Mingguan Malaysia HAFIZAHRIL HAMID telah mewawancara Pengasas, Institut Kajian Etnik (KITA ), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM ) PROF. ULUNG DATUK DR. SHAMSUL AMRI BAHARUDDIN untuk mendapatkan ulasan lanjut. Jelas beliau yang juga Timbalan Pengerusi, Majlis Profesor Negara, "turun-naik, tenggelam-timbulnya soal hudud bergantung kepada lemah-kuatnya kelompok ulama dalam pimpinan Pas.
Kalau Mat Sabu berjaya mencapai angan-angannya menjadi Presiden Pas menggantikan Ustaz Hadi, soal hudud akan tenggelam dan Pas terus dalam Pakatan."
MINGGUAN: Bagaimana Datuk melihat masa depan kerjasama pakatan pembangkang antara Pas, DAP dan PKR. Berapa lama lagi mereka boleh bertahan?
SHAMSUL: Kerjasama Pas-DAP-PKR tidak terikat dan terdaftar rasmi dalam satu kesatuan rasmi seperti BN (Barisan Nasional). Hubungan antara parti-parti ini adalah sebenarnya sebuah ‘pakatan’ yang sangat longgar ikatannya.
Malah pada awal tertubuhnya PR (Pakatan Rakyat) ada yang menganggap ia sebagai sebuah ‘komplot’, iaitu sekumpulan parti yang berkonspirasi hendak menjatuhkan dan ambil alih BN sebagai kerajaan pusat Persekutuan Malaysia. Maka PR boleh dilihat sebagai sebuah pakatan dan komplot.
Anwar Ibrahim adalah pengikat kuat PR. Tanpa beliau PR tidak wujud. Selagi beliau hidup, dengan segala kekuatan jaringan beliau di seluruh dunia dan dana yang dikatakan bertimbun, PR akan terus wujud.
Anwar bercita-cita besar, mempunyai ribuan penyokong taksub dari Pas, DAP dan apatah lagi PKR, yang menyifatkan beliau seperti Nelson Mandela.Selagi beliau bernafas, selagi itulah cita-cita beliau hendak jadi Perdana Menteri akan terus membakar emosinya dan selagi itulah kerjasama Pas-DAP-PKR akan terus berdenyut yang dihayati dan dihidupkan oleh penyokong-penyokong beliau.
Paling penting kerjasama Pas-DAP-PKR bukan lagi suatu kerjasama politik antara tiga parti ini. Kerjasama ini telah menjadi platform ‘kepembangkangan’ (oppositionism) di Malaysia. Maksudnya, siapa saja pengundi yang tidak setuju dengan kerajaan BN, sama ada beliau seorang ahli parti BN atau tidak, atau tanpa parti, mereka akan berpihak kepada PR.
Sebab ini jugalah yang membolehkan PR terus hidup, biarpun suhu kerjasama Pas-DAP-PKR turun naik macam cuaca di Amerika Syarikat, ikut musim, dan selagi Anwar Ibrahim bernafas, seperti terbukti sebelum ini, sama ada beliau di luar atau dalam penjara.
Pada pandangan Datuk, jalan penyelesaian terbaik dalam hal ini apakah Pas perlu keluar atau bagaimana?
SHAMSUL: Ada pihak dalam Pas melihat jalan penyelesaiannya ialah keluar daripada PR, ada yang mahu terus dalam PR. Mengapa Pas dalam dilema ini? Apakah pilihan Pas sebenar? Walaupun demikian, mencabarnya keadaan adalah menjadi kerugian politik besar pada Pas sekiranya keluar daripada PR. Kecuali kalau ia keluar untuk bersama BN.
Dalam kata lain, Pas secara bersendirian tidak boleh mencapai kejayaan yang besar seperti dalam PRU-12 pada 2008 dan PRU-13 pada 2013. Pas akan terus jadi “jaguh kampung di Kelate atau Teganu” kalau tidak masuk PR. Kerana itulah, walaupun ternyata Pas telah terus menerus ‘dibuli’ secara terbuka dan halus, oleh Anwar Ibrahim, PKR atau DAP, sama ada di Perak, Selangor, Pulau Pinang dan Johor, Pas tidak akan keluar daripada PR.
Apatah lagi sokongan di kubu terkuatnya, iaitu di Kelantan sendiri telah nampak menurun, seperti terjelma dalam keputusan PRK Pengkalan Kubor pada 25 September 2014 lalu. Apabila kita teliti keputusan PRU-12 dan PRU-13, Pas menang banyak kerusi Parlimen dan ADUN oleh itu nampak kuat sekarang bukan kerana sokongan pengundi Melayu Islam semata-mata.
Kebanyakan pengundi bukan Melayu pada PRU sebelum ini mengundi Pas walaupun mereka tahu parti itu memperjuangkan hudud. Bagaimana Datuk melihat perkara ini?
SHAMSUL: Pengundi bukan Melayu juga ialah para pengundi yang telah membawa kemenangan kepadanya, terutama di kawasan Parlimen dan DUN yang dikategorikan sebagai mixed seat, di kawasan pilihan raya yang bilangan pengundi Melayu dan bukan Melayu hampir sama.
Pengundi Melayu dan bukan Melayu ini ialah pengundi yang tidak lagi percaya pada BN. Mereka tidak ambil kira sama ada Pas mahukan hudud atau tidak. Mereka mahukan PR sebagai kerajaan. Dalam gelombang perubahan selera pengundi ini, Pas mengambil kesempatan melalui PR untuk turut sama naik.
Selagi Nik Aziz hidup, dan dengan kebencian serta dendam kesumat beliau terhadap UMNO, selagi itu Pas akan kekal dalam PR. Maka apa yang beliau putuskan akan menjadi keputusan Pas. Dia akan memutuskan supaya Pas kekal dalam PR. Itu sebabnya soal hudud ini difokus oleh Pas kepada negeri Kelantan. Namun DAP dan PKR, dan juga Pas, sama-sama tahu bahawa sebarang perubahan dalam Undang-Undang Tubuh Negeri mesti didahului atau menerima sokongan di Parlimen.
Dari satu segi, Pas seolah-olah ingin mengabui mata orang ramai dengan menganggap soal pelaksanaan hudud semata-mata soal Kelantan. Pengundi Malaysia tidak rabun dan tidak bodoh. Pengundi Malaysia ‘celik politik’ (politically literate).
Soal prinsip dan isu hudud menjadi permasalahan utama, seolah-olah ada pihak cuba mengajar atau menentukan hala tuju atau dasar parti rakan sekutu mereka. Bagaimana Datuk melihat hal ini?
SHAMSUL: Kita jangan lupa, Pas sanggup masuk PR dulu bermakna Pas sanggup mengorbankan prinsipnya, atau menjadikannya sebagai perkiraan kedua. Cuma dari waktu ke waktu pemimpin daripada kelompok ulama mengingatkan penyokong Pas bahawa raison d’etre atau alasan kewujudan mereka adalah untuk melaksanakan hudud.
Tetapi dalam Pas, semenjak ditubuhkan pada 1951, ada juga kelompok pimpinan yang bersetuju dengan prinsip untuk memperjuangkan penubuhan ‘Negara Islam’ tetapi dalam kerangka nasionalisme Melayu. Maknanya, Pas ialah parti orang Melayu Muslim di Tanah Melayu ketika itu, bukan sebuah Parti Islam di Timur Tengah.
Pimpinan Pas semenjak 1951 bertukar ganti antara ‘kelompok ulama’ dan ‘kelompok nasionalis.’ Persaingan dalaman antara kedua-dua kelompok ini sangat sengit dan kadang-kadang menyebabkan perpecahan dan mewujudkan parti serpihan seperti Parti Hizbul Muslim (HAMIM, 24/03/1983).
Namun Pas dalam sejarah kewujudannya tidak mampu berdikari dan terpaksa berpaut dengan parti-parti lain untuk terus bernyawa. Mula-mula semua bakal pimpinan Pas wujud dalam UMNO, semenjak 1946. Mereka keluar daripada UMNO dan tubuh parti sendiri pada 1951. Daripada 1974-78 Pas masuk Barisan Nasional; 1989-1996 masuk Angkatan Perpaduan Ummah (APU); 1999-2004 Barisan Alternatif (BA); dan 2008-sekarang masuk Pakatan Rakyat (PR).
Hanya dengan bergabung dengan Parti Semangat 46, parti serpihan UMNO pascakonflik 1987 yang diketuai oleh Tengku Razaleigh, Pas berjaya menguasai kembali Kelantan dalam PRU-8 pada 1990, yang sebelumnya dikuasai BN.
Dalam soal pelaksanaan hukum hudud oleh Kerajaan Negeri Kelantan, bagaimana Datuk melihat kesungguhan mereka serta penerimaan rakyat berbilang kaum di negeri itu. Apakah ia hanya politik atau sudah sampai masa untuk dilaksanakan?
SHAMSUL: Secara keseluruhan sejarah Pas, prinsip memperjuangkan ‘Negara Islam’ wujud dari awal. Tetapi percubaan untuk memperkenal dan melaksana hukum hudud hanya setelah Pas menang pilihan raya 1990 di Kelantan di bawah pimpinan Menteri Besar ketika itu Nik Abdul Aziz Nik Mat (1990-2013).
Turun-naik, tenggelam-timbulnya soal hudud bergantung kepada lemah-kuatnya kelompok ulama dalam pimpinan Pas. Kalau Mat Sabu berjaya mencapai angan-angannya menjadi Presiden Pas menggantikan Ustaz Hadi, soal hudud akan tenggelam dan Pas terus dalam PR.
Andai kata Pas enggan keluar pembangkang atau bermain tarik tali, sejauh mana permasalahan atau hipokrasi antara mereka ini mampu bertahan?
SHAMSUL: Pas tidak akan keluar daripada PR kerana - (1) selagi Anwar Ibrahim masih hidup, (2) selagi pimpinan mahukan Pas kekal diterima dan berjaya di luar Kelantan dalam Parlimen dan DUN, (3) selagi Pas tak boleh hidup sendiri-sendiri biarpun kadang-kadang kena buli, kerana sokongan di kubunya di Kelantan sendiri sudah menurun, (4) selagi ada pengundi Melayu Islam yang tidak berpuas hati dengan UMNO dan BN, khususnya golongan muda, (5) selagi Pas boleh menambah baik struktur tadbir parti di seluruh negara, seperti UMNO.
Jelas antara pembangkang tidak ada sifat hormat, penyatuan serta kerjasama sesama mereka seperti mana BN. Bagaimana masyarakat boleh melihat mereka sebagai pakatan politik yang lebih baik daripada BN jika banyak soal pokok, mereka tidak boleh bekerjasama?
SHAMSUL: Rakyat merasakan mereka sebenar-benarnya ada pilihan selain daripada BN semenjak PRU-12 pada 2008.Tetapi gerakan mencari pilihan ini bermula dengan ‘Angkatan Perpaduan Ummah’ (1989-1996) dan diikuti dengan ‘Barisan Alternatif’ (1999-2004) dan kemudiannya dengan Pakatan Rakyat (2008-sekarang).
Intensiti atau kekuatan gerakan ini bermula setelah Anwar Ibrahim ditendang keluar daripada UMNO pada 1998 dan setelah beliau membentuk Gerakan Reformasi yang menjadi platfom pada peringkat kebangsaan kepada ‘gerakan mencari alternatif’ kepimpinan politik di Malaysia.
Rakyat Malaysia telah lama didedahkan kepada gerakan ini. Semenjak 2008 ia mula menjadi kenyataan kerana sokongan daripada sebahagian rakyat terhadapnya.
Parti-parti dalam PR akan terus berbalah dari waktu ke waktu, tetapi pengundi yang menentukan masa depan politik mereka. Polarisasi pengundi ini dan jurang antara yang menyokong BN dan PR tidak mudah untuk diimbangi oleh kedua-dua pihak, kerana ada unsur etnik yang kuat yang mempengaruhinya.
Harapan Datuk dalam soal ini serta masa depan politik negara yang semakin berhadapan cabaran lebih besar seperti kemelut ekonomi, perubahan budaya, persepsi tentang Malaysia dalam kalangan negara Barat serta kebangkitan negara-negara ASEAN seperti Indonesia, Vietnam dan lain lain?
SHAMSUL: Kita tidak boleh melihat Malaysia semata-mata dari sudut masalahnya, atau perkara-perkara yang tidak disukai, atau grievances, rakyatnya. Ini adalah perspektif yang tidak adil, malah tidak rasional lagi tidak matang.
Dalam Dialog Perpaduan anjuran Majlis Konsultatif Perpaduan Nasional (MKPN) yang diadakan di 18 bandar utama Malaysia, peserta ditanyakan tiga soalan:
(1) Apakah yang anda suka tentang Malaysia?
(2) Apakah yang anda tidak suka tentang Malaysia?
(3) Apakah cadangan anda untuk menyelesai apa yang anda tidak suka?
Semua menjawab dan menyatakan apa yang mereka suka tentang Malaysia. Tidak ada yang kata tak suka. Setiap peserta ada menyatakan apa yang mereka tak suka mengenai Malaysia, ramai yang memberi cadangan memperbaikinya dan ada juga yang tak bagi apa-apa cadangan.
Analisis, kupasan, pemberitaan tentang Malaysia, sama ada dalam atau luar negeri, tidak pernah menyoal “apakah yang anda suka tentang Malaysia” dan mengupasnya. Kalau pun ada, hanya komen positif dan itu pun jarang-jarang sekali. Malaysia tidak harus berpatah hati dan kecewa dengan komen-komen negatif daripada sesiapa sahaja.
Yang paling penting adalah untuk komen-komen ini dijawab dengan satu persatu yang disokong oleh data dan penemuan penyelidikan. Ini belum dilakukan dengan memuaskan oleh pihak berwajib dan kerajaan hari ini.
Pada satu pihak, seolah-olah kerajaan terlalu sibuk dengan tugas seharian sehingga tidak ada waktu nak menjawab segala tuduhan, tohmahan, kritikan atau soalan.
Pada satu pihak lain, mereka yang menentang dan membangkang kerajaan atau mengkritik Malaysia, seolah-olah tak ada kerja lain, dan mempunyai banyak masa lapang hanya untuk mengkritik Malaysia.
Malaysia perlu ada jurucakap rasmi atau satu pasukan jurucakap rasmi, untuk menjelas dan menjawab segala tuduhan, tohmahan dan soalan daripada dalam dan luar negeri. Kenyataan-kenyataan rasmi ini disalurkan dalam media massa serta-merta.
Bilakah agaknya ini akan dilaksanakan? Seeloknya sebelum PRU-14 pada 2018, sebelum ia menjadi beban yang tak tertanggung.-Utusan Malaysia
Tahukah anda terdapat satu cara untuk jimatkan penggunaan kredit telefon anda? Jom lihat plan ini