Piala AFF Suzuki Akhir Pertama: Thailand Menang Bergaya 2-0 Ke Atas Malaysia
PASUKAN Thailand mencatat keputusan selesa selepas mengetepikan Malaysia 2-0 pada aksi akhir pertama Piala AFF Suzuki yang berlangsung di Stadium Rajamangala, Bangkok, Thailand pada Rabu malam.
Skuad Gajah Perang itu tampil dengan aksi pantas melakukan serangan, namun pada babak pertama menyaksikan kedua-dua pasukan terikat seri tanpa jaringan dan dilihat mereka bermain berhati-hati dalam mencari rentak serangan.
Malaysia nyaris membuka jaringan melalui kapten pasukan, Shukor Adan pada minit ke-28, namun percubaannya tersasar.
Dua minit selepas itu, pemain Thailand pula mengasak dan melakukan percubaan tepat ke arah gol, tetapi penjaga gol negara, Farizal Marlias dapat menyelamatkan sepakan yang dilakukan Adisak Kraisorn.
Tidak banyak percubaan berbahaya yang dilakukan oleh skuad Harimau Malaya dan Gajah Perang dalam tempoh 45 minit pertama permainan.
Hanya dua minit sebelum babak pertama tamat, keadaan pintu gol negara sedikit terancam apabila kesilapan Fadli Shas yang cuba melakukan ‘clearance’, namun tertanduk ke arah gol sendiri.
Mujurlah cubaan itu tersasar di tepi gol.
Bersambung ke babak kedua, pasukan tuan rumah turun dengan lebih kemas mengatur serangan bertubi-tubi memaksa Farizal bekerja keras mengawal gawang.
Barisan pertahanan yang dibarisi Shukor Adan, S.Kunanlan, Zubir Azmi dan Fadli Shas masih gagal mencari kombinasi yang baik untuk mengawal kepantasan pemain lawan.
Harimau Malaya mendapat sepakan percuma pada minit ke-49 yang dilakukan oleh Safiq Rahim, namun gagal menembusi gawang tuan rumah.
Sementara itu, pada minit ke-51 Amri Yahyah dilayangkan kad kuning selepas menjatuhkan pemain Thailand.
Minit ke-71 kesilapan Fadli Shas menjatuhkan Kraisorn dalam kotak penalti membawa padah apabila pengadil Kavalenko Valentin menghadiahkan sepakan penalti yang dilakukan oleh Charyl Yannic Chappuis.
Pengendali Harimau Malaya, Dollah Salleh melakukan dua pertukaran pada minit ke-74 dengan mengeluarkan Badri Radzi dan memasukkan Baddrol Bakhtiar, manakala Safee Sali menggantikan tempat Amri Yahyah.
Minit ke-82, Indra Putra Mahayuddin dilayangkan kad kuning selepas kakinya terkena muka pemain lawan.
Pemain penyerang Kroekrit Thawikan menjaringkan gol kedua Thailand selepas selepas tidak dikawal rapi di kawasan kotak penalti pada minit ke-85.
Pada minit ke-93 , peluang untuk merapatkan kedudukan hadir, namun tandukan Indra Putra yang nyaris mencecah gawang dapat diselamatkan penjaga gol tuan rumah, Kawin Thamsatchanan.
Sehingga tamat permainan, Malaysia gagal mencari sebarang gol sekali gus menjadikan tugas sukar buat Harimau Malaya di laman sendiri bagi aksi akhir kedua di Stadium Nasional Bukit Jalil Sabtu ini.
SENARAI PEMAIN:
Thailand: Kawin Thamsatchanan (kapten), Perapat Notechaiya, Kroekrot Thawikan, Suttinum Phukhom, Sarach Yooyen, Charyl Yannic Chappuis, Adisak Kraisorn, Mongkol Thosakrai,Narubadin Weerawatnodom, Tanaboon Kesarat, Chanathip Songrasin
Jurulatih: Kiattisuk Senamuang
Malaysia: Mohd Farizal Marlias, Safiq Rahim, Norshahrul Idlan Talaha, Muhammad Shukor Adan (kapten), Indra Putra Mahayuddin, Mohd Badadri radziri Mohd Radzi, S.Kunanlan, Mohd Amri Yahyah, Azammuddin Mohd Akil, Muhammad Zubir Mohd Azmi, Mohamad Fadli Shas
Jurulatih: Dollah Salleh
Pengadil: Kovalenko Valentin (Uzbekistan) - mStar Online
Tahukah anda terdapat satu cara untuk jimatkan penggunaan kredit telefon anda? Jom lihat plan ini