RM4 Untuk Makan Tengah Hari
“SUDAH 30 tahun saya tawarkan harga makanan dengan harga yang murah,” kata A. Karim Belohik, 70 yang mengusahakan kedai makan dikenali sebagai Gerai Karim di Lorong Bugis, Jalan Kukup.
A Karim berkata dia tidak sampai hati untuk menaikkan harga makanan dan minuman yang dijual kerana dia mahu menyahut seruan kerajaan bagi membantu mengurangkan kos hidup rakyat.
Katanya, dia masih mampu mengekalkan harga yang jauh lebih murah berbanding peniaga makanan dan minuman yang menjadi saingannya.
Malah tidak keterlaluan jika harga ditawarkan di Gerai Karim adalah paling murah di Pontian iaitu RM2 untuk sarapan dan RM4 untuk makan tengah hari.
Hanya dengan harga RM2, pelanggan akan dapat menikmati minuman teh tarik bersama roti canai, mi goreng mahupun nasi lemak, manakala hidangan tengah hari nasi putih berlauk sama ada ayam atau ikan dan minuman dijual dengan harga RM 4.
Jelasnya, kebanyakan pelanggan yang bertandang ke gerainya merupakan pelanggan setia terdiri daripada pekerja kilang, kakitangan swasta dan awam serta orang ramai di kawasan berkenaan.
“Harga yang ditawarkan cukup rendah kerana mengambil kira status pelanggan dan konsep kedai yang menjual harga makanan dengan kadar yang begitu rendah berbanding kedai-kedai makan lain," katanya.
Mengulas mengenai menu makanan katanya, hampir 20 lauk pauk kampung dimasak setiap hari dengan menu wajib asam pedas ikan pari dan ayam masak merah.
Antaranya menu lain adalah kari ikan dan ayam, sambal berlada, lemak cili api, ayam masak kicap, sayur pisang masak lemak, lemak siput, ulam-ulaman dan sebagainya.
Menurut A Karim yang merupakan Pengerusi Persatuan Bugis daerah Pontian, gerai makan yang diusahakan bersama anak perempuannya Mas Liza, 44 dan menantu Sipon Sawap, 55 ini dikenali sebagai Gerai Perpaduan pada awal 90an dahulu.
“Bermula dari Gerai Perpaduan, gerai makan yang diusahakan kami sekeluarga mula menerima perhatian orang ramai.
“Lama kelamaan, pelbagai nama diberikan pelanggan termasuk gerai murah, gerai tepi jalan namun sehingga kini Gerai Karim masih kekal,”akhirinya. - Sinar Harian
Tahukah anda terdapat satu cara untuk jimatkan penggunaan kredit telefon anda? Jom lihat plan ini