Tebusan: Suspek Tuntut Bendera IS, Beri Amaran Empat Bom Dipasang Di Sydney
SYDNEY: Seorang lelaki bersenjata yang menawan tebusan di sebuah kafe di Sydney pada Isnin mendesak supaya bendera kumpulan Negara Islam (IS) diserahkan kepadanya dan memberi amaran terdapat empat butir bom telah dipasang di sekitar bandar itu, menurut satu laporan.
Channel Ten berkata, ia telah bercakap dengan dua daripada tebusan yang berada di dalam kafe tersebut dan lelaki yang menawan mereka membuat beberapa tuntutan.
"Pasukan #TenNews kami telah bercakap secara terus dengan dua tebusan di dalam kafe... mereka telah mengesahkan dua tuntutan daripada lelaki itu," kata saluran itu di akaun Twitter.
"Dia (lelaki bersenjata) mahu bendera Kumpulan militan Negara Islam Iraq dan Jajahannya (ISIL) supaya dihantar ke kafe itu, dan tuntutan keduanya adalah mahu bercakap dengan Perdanan Menteri.
"Mereka juga menyatakan bahawa terdapat empat butir bom, dua di dalam kafe Lindt di Martin Place, dan dua lagi di pusat daerah perniagaan (CDB) Sydney. Tiada pengesahan daripada polis," katanya.
Setakat ini, seramai lima orang berjaya menyelamatkan diri keluar dari kafe itu. Mereka terdiri daripada tiga lelaki dan dua wanita.
Polis Australia mengepung ibu negara itu pada Isnin selepas seorang lelaki bersenjata menawan tebusan di sebuah kafe di pusat bandar Sydney dan memaksa mereka untuk bendera dengan tulisan Arab, berikutan kebimbangan terhadap serangan pejuang jihad.
Polis berkata, mereka mengesan terdapat seorang penyerang yang terlibat dalam kafe coklat Lindt di Sydney tetapi kemungkinan jumlah yang terlibat adalah lebih ramai.
Polis, termasuk para pegawai separa tenteta mengepung beberapa blok bangunan di sekitar kafe apabila pihak yang mahu berunding cuba untuk menyelesaikan masalah itu.
Sekumpulan penembak hendap dan Pasukan Taktik dan Senjata Khas (SWAT) membuat kawalan di sekitar kafe dan helikopter polis turut beroperasi membuat pemantauan.
Sekurang-kurangnya lima tebusan telah dibebaskan atau berjaya menyelamatkan diri dalam kejadian yang berlaku pada pagi Isnin.
Polis berkata, tidak dapat dipastikan berapa ramai lagi tebusan yang masih ditawan di dalam kafe tesebut tetapi bilangannya tidak seramai 30 atau 40 orang seperti yang dilaporkan sebelum ini. - mStar Online
Tahukah anda terdapat satu cara untuk jimatkan penggunaan kredit telefon anda? Jom lihat plan ini