KOTA SAMARAHAN 19 Jan. – Kehadiran seekor buaya sepanjang 2.5 meter dengan berat kira-kira 100 kilogram di parit berhampiran Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) mengundang kebimbangan kepada penduduk sekitar.
Namun, atas tindakan pantas Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Kota Samarahan, mereka kini boleh menarik nafas lega apabila reptilia itu berjaya ditangkap.
Buaya yang tersesat dari Sungai Samarahan itu dipercayai terdampar di kawasan tersebut ketika air pasang dan tidak mampu berganjak berikutan air sungai surut.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Samarahan, Ahmad Shahfikri Darus berkata, buaya tersebut ditangkap tidak jauh dari lokasi awal haiwan itu dikesan penduduk.
Katanya, mereka terpaksa me*ngambil masa lebih sejam sebelum menangkap buaya tembaga tersebut.
“Sebaik sahaja menerima panggilan mengenai kejadian itu pukul 11 pagi, sepasukan anggota JPAM bergegas ke tempat kejadian bagi menjalankan pemeriksaan.
“Ketika tiba di lokasi, buaya didapati terperangkap di dalam parit sedalam kira-kira dua meter dan usaha menangkapnya menghadapi kesukaran kerana haiwan ini bertindak agresif,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau memberitahu, buaya yang bertindak agresif itu akhirnya tewas apabila mereka menggunakan tali dan guni untuk menangkapnya meskipun keadaan parit yang agak berlumpur menyukarkan usaha dilakukan.
“Reptilia ini dibawa ke pejabat JPAM sebelum diserahkan kepada Jabatan Hutan untuk tindakan lanjut,” ujarnya.-Utusan