BUKIT BERUANG - Polis negeri ini telah mengenal pasti identiti mayat seorang lelaki yang ditemui dalam keadaan berulat di kawasan paya berhampiran loji pembetungan di Bandar Merlimau Baru, Jumaat lalu.
Mayat berkenaan yang sebelum ini dipercayai warga asing, merupakan pekerja syarikat kontrak Tenaga Nasional Berhad (TNB) Perak.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Raja Shahrom Raja Abdullah berkata, hasil siasatan pihaknya mendapati mangsa adalah Mohd Azad Suhaimi Hilalluddin, 27, berasal dari Kampung Pengkalan, Pagoh, Perak.
“Susulan siasatan, kami menahan seorang lelaki dan kekasihnya masing-masing berusia 19 tahun di dua lokasi berasingan di Jasin dan Melaka Tengah.
“Perempuan itu, seorang pelajar IPT ditahan di rumah sewanya di Merlimau kira-kira jam 1.15 pagi tadi (semalam) sementara lelaki tersebut ditahan di rumahnya di Kandang jam 3 pagi hari sama,” katanya di sini, semalam.
Menurutnya, polis kini sedang berusaha mengesan barangan milik mangsa dan senjata digunakan hingga mengakibatkan kematian.
Pembunuhan dipercayai bermotifkan cemburu selepas suspek lelaki berkenaan melihat teman wanitanya itu bertemu mangsa berhampiran lokasi mayat ditemui.
"Dipercayai suspek perempuan itu menjalinkan hubungan cita siber dengan mangsa selama tiga tahun dan pada hari kejadian mangsa dikatakan datang ke Merlimau untuk bertemu suspek buat kali pertama.
"Suspek lelaki yang melihat perempuan itu bersama mangsa cemburu dan dipercayai bertindak menikam mangsa sebelum membuang mayatnya di dalam loji berkenaan," katanya.
Beliau berkata, polis juga percaya dengan penangkapan kedua-dua suspek kes yang disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan itu berjaya diselesaikan dan mereka berdua kini ditahan reman selama tujuh hari sehingga 11 Januari ini.
“Bagaimanapun orang awam yang mempunyai maklumat kejadian diminta tampil memberi keterangan di balai polis berhampiran untuk membantu siasatan,” katanya.
Pada 3 Januari lalu, akhbar ini melaporkan mayat seorang lelaki yang tiada identiti ditemui dalam keadaan berulat di kawasan paya berhampiran loji pembetungan di Bandar Merlimau Baru.
Mayat terbabit ditemui oleh individu yang ingin mencari biawak di kawasan itu bersama anjing peliharaannya sebelum menghubungi pihak polis.
Siasatan awal polis yakin lelaki yang dipercayai warga asing telah dibunuh dalam tempoh dua hari selain terdapat kesan kelar di leher dan luka di pergelangan tangan.
Katanya, mangsa juga dipercayai ditikam di kawasan hadapan deretan kedai berdasarkan tompokan darah di atas jalan raya sebelum dicampak ke dalam kawasan paya terbabit yang jaraknya dianggarkan setinggi 100 meter dari tebing. - Sinar Harian
Bunuh Bermotif Cemburu, Dua Suspek Ditahan
Tahukah anda terdapat satu cara untuk jimatkan penggunaan kredit telefon anda? Jom lihat plan ini