BAHAGIAN pintu kereta yang diubah suai bagi tujuan penyeludupan daun ketum. |
Jitra: Seorang lelaki warga Thailand dikesan bersekongkol dengan penduduk tempatan bagi menjalankan kegiatan menyeludup daun ketum ke negara jiran.
Suspek dikesan menggunakan taktik membungkus daun ketum itu di dalam plastik sebelum disembunyikan di dalam kereta dipandu.
Bagaimanapun cubaan ketiga lelaki berusia 22 tahun berasal dari wilayah Narathiwat, Thailand, itu gagal apabila dia ditahan pihak berkuasa di Tunjang di sini, 6 petang Rabu lalu.
Suspek ditahan melalui Ops Tapis Khas membabitkan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Kedah dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu dalam usaha membanteras aktiviti penjualan dan penyeludupan daun ketum di daerah itu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Superintendan Abd Razak Md Zin berkata, sepasukan anggota polis berjaya menahan suspek dan seorang lelaki berusia 49 tahun yang sedang memuatkan bungkusan plastik mengandungi daun ketum ke dalam sebuah kereta.
Menurutnya, hasil pemeriksaan pihaknya menemui bungkusan daun ketum dimuatkan di dalam ruangan pada keempat-empat bahagian pintu kereta model Honda City bernombor pendaftaran Thailand.
“Serbuan dilakukan di rumah lelaki warga tempatan yang dipercayai dijadikan lokasi transit mengumpul daun ketum.
“Dalam pemeriksaan itu, polis merampas kira-kira 651 bungkusan daun ketum dianggarkan seberat 53 kilogram (kg) bernilai RM1,590,” katanya pada sidang media di IPD Kubang Pasu, di sini, semalam.
Hadir sama, Ketua Polis Daerah Kubang Pasu Superintendan Abd Rahim Abdullah.
Abd Razak berkata, dalam serbuan kedua, polis menahan seorang lelaki berusia 40 tahun dan merampas 146 bungkusan daun ketum di sebuah rumah di sini, jam 4.40 petang Khamis lalu.
“Dalam serbuan itu, bungkusan daun ketum terbabit dimuatkan di dalam dua guni seberat 36 kg dianggarkan bernilai lebih RM1,000 dipercayai cuba diseludup ke negara jiran,” katanya.
Katanya, ketiga-tiga suspek terbabit ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 yang membawa hukuman penjara empat tahun dan denda RM10,000 jika sabit kesalahan.
Sementara itu, Abd Razak berkata, dalam Ops Tapis berkenaan, seramai 14 lelaki termasuk seorang lelaki warga Thailand berusia 22 hingga 59 tahun ditahan dalam 13 serbuan di sekitar Air Hitam, Kodiang dan Changlun, di sini.
Menurutnya, secara keseluruhan pihaknya merampas 110.7 kg daun ketum, air ketum sebanyak 116.2 liter dan tujuh botol ubat batuk dengan harga pasaran hampir RM5,000 selain sebuah kereta untuk membantu siasatan. ─ myMetro online