WASHINGTON – Pengeluar perabot terkenal Sweden, Ikea pada Rabu mengumumkan segera menarik balik kira-kira 160,000 tilam bayi keluarannya selepas beberapa laporan akhbar mendedahkan kes dua kanak-kanak terperangkap di lapisan itu.
Namun pengumuman secara mengejut itu cuma melibatkan pasaran Amerika Syarikat (AS), Kanada dan Dominica bagi keluaran Ogos 2010 sehingga Mei 2014 membabitkan lima model Vyssa termasuk jenama Vackert, Vinka, Spelevink, Sloa dan Slummer.
“Tilam bayi Vyssa pada asalnya direka untuk memastikan persekitaran tidur yang nyaman dan selamat buat bayi dan kanak-kanak kecil dan mungkin ada bentuk tertentu mewujudkan jurang dengan katil sehingga menyebabkan bahaya,” kata jurucakap Ikea.
Jarak tidak selamat untuk tilam bayi dan katil. – Gambar hiasan
Suruhanjaya itu dalam kenyataan media meminta pengguna tempatan menghentikan penggunaan tilam tersebut jika mendapati ada jurang sebesar lebih dua jari antara tilam dan rangka lapisan luar katil yang boleh memerangkap tubuh kanak-kanak.
“Pengguna perlu menamatkan penggunaan tilam model berkenaan dan segera memulangkan balik kepada mana-mana gudang Ikea berhampiran untuk pertukaran kepada model lain atau mendapatkan bayaran balik pembelian,” kata suruhanjaya itu.
Pada September tahun lalu, gergasi perabot global itu terpaksa memanggil semula 20,000 buaian kanak-kanak selain hampir tiga juta kanopi katil bayi pada Mac sebelum itu dari gudangnya di seluruh dunia selepas mendapati ada potensi bahaya. – Agensi