'Jurutera kampung' cipta jentera
KUBANG PASU - Walaupun tidak mempunyai segulung ijazah, diploma atau sijil kemahiran, ia tidak menghalang seorang mekanik menggunakan kreativiti tersendiri untuk menghasilkan rekaan jentera berat.
Che Len Mustafa, 53, dari Kampung Pida 11 Lama, di sini, boleh digelar sebagai 'jurutera kampung' kerana mempunyai daya inovasi dan idea tersendiri yang diserlahkan melalui jentera yang direkanya.
Mempunyai kepakaran dalam pelbagai bidang kemahiran, Che Len melakukan percubaan untuk membuat sebuah jentera meracun padi atau rumput, jentera penabur benih padi dan mesin janakuasa elektrik.
Menurut Che Len, kerja-kerja merekacipta itu telah dilakukannya sejak kira-kira 20 tahun lalu dengan mengubahsuai pelbagai peralatan.
“Saya gunakan kemahiran sendiri yang diperoleh melalui kerja membaiki jentera mesin padi, pembajak, enjin dan baiki kenderaan.
“Dari situ saya berjinak-jinak untuk merekacipta jentera sendiri,” katanya, semalam.
Che Len berkata, jentera meracun padi yang diciptanya sejak tiga tahun lalu membuahkan hasil apabila jentera tersebut boleh bergerak dan berfungsi walaupun masih memerlukan penambahbaikan.
“Untuk jentera ini saya gunakan enjin jenis Kubota yang menggunakan bahan api diesel. Manakala kerangkanya saya reka dengan idea sendiri.
“Jentera ini berfungsi untuk kerja meracun rumput atau padi dengan lebih senang tanpa menggunakan tenaga buruh yang ramai,” katanya yang juga bapa tunggal kepada seorang anak lelaki.
Tambah Che Len, bagi jentera penabur benih padi pula masih dalam proses pembuatan selepas dimulakan sejak tahun lalu.
“Untuk jentera ini mungkin akan mengambil masa lebih lama dan bergantung kepada sumber kewangan saya sendiri. Ini kerana kerja mekanikal seperti ini memerlukan modal yang besar.
“Semua jentera ini bertujuan memberi kemudahan kepada golongan pesawah dalam kerja menghasilkan tanaman padi,” jelasnya.
Dalam pada itu, Che Len berharap, usaha yang dilakukan itu mendapat perhatian daripada pihak-pihak berwajib untuk memberi bantuan kepadanya sama ada berbentuk tajaan dan sumbangan peralatan bengkel.
“Sebelum ini saya telah menerima kunjungan daripada pihak Mada (Lembaga Kemajuan Pertanian Muda) dan beberapa agensi lain yang datang melihat sendiri kerja-kerja rekcipta yang saya hasilkan.
"Jadi, saya berharap sekiranya ada pihak yang boleh membantu agar usaha saya ini dapat diteruskan dengan lebih baik dan berjaya,” katanya.-Sinar Harian
Tahukah anda terdapat satu cara untuk jimatkan penggunaan kredit telefon anda? Jom lihat plan ini