PETALING JAYA – Penganjur konsert artis K-Pop, Taeyang yang bakal berlangsung di Kuala Lumpur pada 7 Februari depan perlu mengambil iktibar kontroversi yang berlaku pada persembahan kumpulan B1AF, baru-baru ini.
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Othman Mustapha berkata, beliau percaya insiden yang berlaku sebelum ini akan menjadi pengajaran kepada semua pihak dan berharap ia tidak berulang.
Beliau turut berharap agar garis panduan yang dikeluarkan agensi yang meluluskan penganjuran konsert itu mengambil kira Garis Panduan Hiburan yang diterbitkan Jakim.
“Saya percaya pengalaman lepas dalam konsert K-Pop yang telah diadakan baru-baru ini (B1AF) akan menjadi pengajaran kepada semua pihak khususnya penganjur supaya perkara yang sama tidak berulang.
“Malah saya yakin ia akan dibincangkan dengan teliti di peringkat jawatankuasa yang memberi kelulusan,” katanya kepada mStar Online pada Khamis.
Taeyang. |
Pada Khamis, mStar Online melaporkan kebimbangan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam sekiranya kontrovesi yang berlaku sebelum ini berulang pada konsert Taeyang.
Penyanyi K-Pop terkenal Taeyang bakal mengadakan konsert sulungnya ‘2015 Taeyang World Tour Rise In Malaysia’ di Stadium Negara dan IME Event selaku penganjur konsert.
Taeyang merupakan anggota kumpulan Big Bang yang berjaya mencetuskan fenomena sehingga menjadi kegilaan ramai peminat K-Pop.
Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (Puspal) di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia bertanggungjawab meluluskan setiap penganjuran membabitkan artis luar negara.
Aksi pelukan dan ciuman antara ahli kumpulan K-Pop, B1AF bersama tiga peminat remaja bertudung ketika berada di atas pentas konsert di Kuala Lumpur pada 10 Januari lalu mencetuskan kecaman pelbagai pihak terutama umat Islam.
Othman sebelum ini berkata, konsert tersebut sama sekali tidak dirujuk kepada Jakim malah jabatan itu tidak dimaklumkan mengenai penganjurannya.