Bacaan
Hangat
Terkini
Viral

Lelaki Terkejut Berhutang Dengan Bank

No Comment


SEREMBAN - Seorang mekanik terkejut apabila menerima surat saman dari Mahkamah Tinggi Seremban, atas pendakwaan gagal menjelaskan bayaran sebanyak RM118,221 sehingga boleh diisytiharkan muflis.

Chow Kah Seng, 32, memberitahu dia menerima surat tersebut pada 11 Januari lalu yang meminta dia ke mahkamah pada 11 Mac depan.

Menurutnya, sebaik sahaja kandungan surat tersebut dibaca, dia terkejut kerana didakwa membuat pinjaman sebanyak RM405,166 melalui sebuah bank tempatan bagi tujuan membeli sebuah rumah teres dua tingkat di Seri Sendayan pada 2010.

“Apa yang berlaku ini adalah sesuatu tidak masuk akal kerana jika dilihat kepada gaji saya RM1,400 sebulan, orang sudah tahu saya tidak layak meminjam wang sehingga RM400,000.

“Enam tahun saya bekerja sebagai mekanik di kedai tayar, tidak pernah saya dapat gaji lebih RM3,000. Inikan pula mahu membuat pinjaman sebanyak itu," katanya.

Mengenai pembelian rumah pula, Kah Seng menjelaskan, dia langsung tidak tahu kerana tidak pernah membeli sebarang rumah sepanjang enam tahun bekerja itu.

“Saya percaya ada orang yang telah salah gunakan kad pengenalan saya untuk kepentingan mereka. Memang pada 2003, saya pernah hilang kad pengenalan dan laporan polis sudah dibuat,” katanya.

Kah Seng berkata, melihat kepada salinan dokumen jual beli rumah yang diperolehi, ia menunjukkan tandatangan pembeli tidak sama dengan tandatangannya.

“Tidak sangka pula ada pihak yang sanggup mengunakan kad pengenalan saya untuk kepentingan mereka sendiri,” katanya.

Menurutnya, mengikut dokumen yang diterima dari bank, rumah itu sudah dilelong dengan harga lebih RM300,000 dan masih mempunyai beberapa baki perlu dijelaskannya kepada bank.

“Saya perlu jelaskan baki RM118,221 kepada bank, kalau tidak, saya akan diisytiharkan muflis oleh mahkamah. Ini merupakan satu penganiayaan kepada saya," katanya ketika ditemui di Pejabat Adun Mambau, Yap Yew Weng di Rasah Jaya, di sini semalam.

Sementara itu, Yew Weng berkata, pihaknya akan mencari seorang pakar penganalisis tandatangan bagi membantu mangsa mendapatkan keadilan.

Menurutnya, kepakaran penganalisis tandatangan ini sangat berguna bagi membuktikan tandatangan yang ada pada dokumen tersebut adalah palsu dan bukannya milik mekanik terbabit.

“Jika perlu, kita akan membantu dia dengan menyediakan khidmat peguam DAP yang akan membantu mengendalikan kes tersebut,” katanya.-Sinar Harian
Tahukah anda terdapat satu cara untuk jimatkan penggunaan kredit telefon anda? Jom lihat plan ini
Blogger ( 0 ulasan )

Facebook ( comments)

Sedang Hangat

©2014 Siakapkeli