Militan, Askar Bertempur Di Tengah Mali, 3 Maut
BAMAKO – Sekumpulan lelaki bersenjata menyerang bandar Tenenkou di tengah Mali menyebabkan sekurang-kurangnya tiga orang terbunuh dalam kejadian berbalas tembakan dengan pihak tentera.
Mali masih merasai kesan kemelut yang bermula pada 2012 apabila pejuang yang ada kaitan dengan Al-Qaeda, merampas wilayah di utara negara itu sebelum operasi tentera Perancis setahun kemudian menyebabkan mereka berpecah.
Sejak beberapa bulan lalu, militan berkenaan meningkatkan serangan.
Kira-kira 20 lelaki bersenjata memasuki Tenenkou dengan motosikal awal semalam dan melepaskan tembakan terhadap anggota tentera Mali yang bertindak balas dalam kejadian yang berlarutan selama tiga jam itu.
Menurut sumber tentera Mali, sekurang-kurangnya dua anggota tentera Mali dan seorang orang awam terbunuh.
Sumber misi pengaman PBB, MINUSMA, pula menyatakan sekurang-kurangnya lima orang terbunuh dan pasukan pengaman dalam perjalanan ke bandar itu.
Menurut kenyataan Kementerian Pertahanan, beberapa penyerang kini ditahan tentera Mali manakala yang lain terpaksa berundur. – REUTERS
Tahukah anda terdapat satu cara untuk jimatkan penggunaan kredit telefon anda? Jom lihat plan ini