Minum Arak, Lalai Dengan Muzik Jadi Kera dan Babi
KUALA LUMPUR: Apabila muzik diutamakan sudah pasti al-Quran diketepikan, demikian kandungan khutbah Jumaat Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), hari ini.
Justeru, umat Islam hendaklah takut dengan amaran Rasulullah SAW mengenai ada umat baginda yang meminum arak dan dilalaikan dengan penyanyi wanita bahawa Allah akan membenamkan mereka ke dalam bumi dan menjadikan sebahagian mereka kera dan babi.
Berikut ialah petikan kandungan khutbah tersebut.
Islam tidak menghalang umatnya berhibur tetapi mestilah ada batas-batas dan panduannya. Segala bentuk hiburan yang tidak bercanggah dengan syariat Islam adalah diharuskan.
Namun, akhir-akhir ini budaya berhibur secara melampau atau hedonisme telah merebak di kalangan remaja Islam.
Mereka bukan sekadar berhibur tetapi mereka juga banyak mengikut gaya hidup yang dibawa oleh artis-artis pujaan mereka seperti budaya K-Pop yang bukan sahaja menyanggahi syariat bahkan tidak langsung menepati budaya masyarakat Melayu.
Mimbar ingin mengambil kesempatan untuk mengajak sidang jemaah sekalian terutama bapa-bapa supaya berwaspada dengan budaya hedonisme yang mungkin telah menular dalam jiwa anak-anak kita tanpa disedari.
Bukan sahaja K-Pop bahkan pelbagai bentuk budaya lain yang telah bertapak di negara kita sama ada yang datang dari luar atau dalam negara.
Fenomena ini menjadi semakin meluas disebarkan melalui pelbagai medium seperti media massa, media sosial, internet, majalah-majalah hiburan dan sebagainya semata-mata untuk menarik golongan remaja yang masih cetek akal dan ilmu.
Sememangnya ramai anak-anak muda yang terlalu asyik dengan muzik. Muzik dan lagu-lagu yang diminati sentiasa menjadi halwa telinga mereka setiap masa.
Kesannya, jiwa mereka semakin hari semakin jauh dari cahaya al-Quran yang sepatutnya menjadi hiburan rohani bagi anak-anak. Apabila muzik diutamakan sudah pasti al-Quran diketepikan.
Takutlah dengan amaran Rasulullah SAW melalui hadis yang diriwayatkan oleh imam Ibnu Majah daripada Abu Malik al-Asy’ari RA yang bermaksud: “Akan ada dari umatku segolongan manusia yang meminum arak dengan mereka menamakannya dengan nama lain, kepala mereka dilalaikan dengan bunyi-bunyian dan penyanyi-penyanyi wanita. Allah akan membenamkan mereka ke dalam bumi dan menjadikan sebahagian mereka kera dan babi”. - HARAKAHDAILY 16/1/2015
Tahukah anda terdapat satu cara untuk jimatkan penggunaan kredit telefon anda? Jom lihat plan ini