Bacaan
Hangat
Terkini
Viral

Operasi Apungkan QZ8501 Dihentikan

No Comment


JAKARTA – Tentera Indonesia semalam menghentikan usaha untuk mengambil bangkai pesawat AirAsia QZ8501 yang terhempas di Laut Jawa pada bulan lalu selepas cubaan mengapungkan badan atau fuselaj pesawat berkenaan sejak beberapa hari lalu menemui kegagalan.

“Semua kekuatan telah kami gunakan,” kata seorang pegawai tentera laut yang memantau operasi mencari dan menyelamat QZ8501, Laksamana Muda Widodo.

“Kami memohon maaf kepada keluarga mangsa,” ujarnya lagi.

Penerbangan QZ8501 terhempas dalam cuaca buruk pada 28 Disember lalu semasa dalam perjalanan dari bandar Surabaya menuju ke Singapura.

Semua 162 penumpang dan kru pesawat jenis Airbus A320-200 itu terkorban, manakala sehingga semalam hanya 70 mayat telah ditemui.

“Tiada lagi mangsa yang dijumpai oleh pasukan penyelam sejak dua hari lalu,” kata Widodo.

Sebelum ini, pihak berkuasa berharap dapat menemui sebahagian besar mangsa di dalam fuselaj pesa­wat itu.

“Kita akan teruskan usaha mencari mangsa bagi memenuhi harapan keluarga tetapi operasi tidak akan dilakukan pada skala yang besar,” kata Ketua Badan Mencari dan Menyelamat Nasional (Basarnas), Bambang Soelistyo.

Seorang jurucakap tentera, Fuad Basya pula berkata, badan pesawat itu telah musnah sama sekali dan tiada lagi mayat di bahagian itu.

Terdahulu, penyiasat Jawatankuasa Kese­lamatan Pengangkutan Nasional (NTSC), Suryanto berkata, laporan awal tragedi itu tidak akan melibatkan analisis kotak hitam perakam penerbangan.

“NTSC akan menyerahkan laporan awal nahas QZ8501 kepada Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa pada minggu ini,” katanya.

“Ia mengandungi maklumat pesawat, jumlah penumpang dan maklumat berkaitan lain,” tambah Suryanto. – AFP
Tahukah anda terdapat satu cara untuk jimatkan penggunaan kredit telefon anda? Jom lihat plan ini
Blogger ( 0 ulasan )

Facebook ( comments)

Sedang Hangat

©2014 Siakapkeli