Gambar hiasan |
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri Datuk Ar Ismail Othman berkata, kerajaan negeri memang merancang menjadikan kawasan berkenaan sebagai lokasi pelabuhan kapal bagi mengembangkan lagi sektor perdagangan negara.
“Saya difahamkan kerajaan meluluskan kerja penambakan seluas 24.282 hektar dari Pulau Konet hingga Pulau Keramat bagi merancakkan dan memudahkan kapal berlabuh.
“Dengan ini, saya berharap kawasan pulau berkenaan dapat dibangunkan sebaik mungkin,” katanya di sini, semalam.
Beliau diminta mengulas mengenai laporan muka depan Metro Ahad semalam mengenai Pulau Konet yang dijadikan lokasi maksiat terutama oleh pasangan remaja.
“Kawasan pulau berkenaan yang agak jauh dari jalan besar dan sunyi memberi peluang pasangan remaja ini melakukan maksiat termasuk dalam kenderaan.
“Masalah berkenaan juga boleh ditangani melalui beberapa cara antaranya peranan Kawalan Rukun Tetangga (KRT) dengan melakukan pemantauan menyeluruh di sekitar kawasan berkenaan,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Linggi berkata, pihaknya tidak menafikan pulau berkenaan dijadikan lokasi maksiat oleh pasangan muda-mudi termasuk yang datang dari luar kawasan berkenaan.
“Rata-ratanya pasangan kekasih yang datang melakukan perbuatan tidak senonoh itu orang luar yang tidak mengetahui selok-belok dan peristiwa yang pernah berlaku di kawasan berkenaan.
“Ada pasangan yang melampiaskan nafsu di Pulau Konet terlalu leka tanpa menyedari air laut pasang hingga boleh menyebabkan mereka terperangkap di pulau berkenaan,” katanya, di sini. - Harian Metro