QZ8501: Kumpulan pertama pasukan DVI PDRM berlepas ke Surabaya
SEPANG: Lapan pegawai dan anggota Pasukan Pengecaman Mangsa Bencana (DVI) akan berangkat ke Surabaya pagi ini bagi membantu tugas forensik dan pencarian mayat mangsa pesawat AirAsia Indonesia QZ8501.
Kumpulan pertama pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membantu polis Indonesia itu akan berangkat kira-kira jam 9.30 pagi ini dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2).
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh, berkata pasukan berkenaan dijangka berada di Indonesia selama sebulan dan ditempatkan mengikut keperluan sama ada di Surabaya atau Pangkalan Bun.
"Pasukan ini terdiri daripada pakar cap jari, jurugambar forensik, pakar siasatan di tempat kejadian serta penyelam.
"Mereka berpengalaman luas dalam bidang masing-masing kerana pernah bertugas dalam tugas forensik semasa pencarian mayat mangsa MH17 di Ukraine dan tsunami di Aceh," katanya pada sidang media pada majlis pelepasan pasukan DVI di klia2 di sini, sebentar tadi. - BH Online
Tahukah anda terdapat satu cara untuk jimatkan penggunaan kredit telefon anda? Jom lihat plan ini