Trak RM106 Juta Bantu Kawal Laluan Trafik di Golden Gate
SAN FRANCISCO 18 Jan. – Jambatan Golden Gate yang merupakan jambatan kedua terpanjang di Amerika Syarikat selepas jambatan Verrazano-Narrows di bandar New York, kini mencatat sejarah tersendiri dan menggamit pandangan pengguna jambatan itu dengan kehadiran sejenis trak dikenali sebagai ‘zipper truck’ bernilai AS$30 juta (RM106 juta) yang berfungsi mengawal keselamatan di sana setiap hari.
Akhbar Daily Mail melaporkan, berbeza dengan keadaan 50 tahun lalu, seorang pekerja perlu duduk di belakang trak dan meletakkan sejenis tiub plastik untuk menentukan laluan di jambatan Golden Gate setiap hari bagi memastikan perjalanan trafik berjalan lancar sepanjang tempoh 24 jam.
Bagaimanapun, pengenalan kenderaan itu menyaksikan trak tersebut berfungsi menyusun dan mengalihkan penghalang keselamatan di sepanjang laluan atas jambatan Golden Gate yang sepanjang 2.73 kilometer dalam beberapa minit.
Penghalang keselamatan tersebut diperbuat daripada blok konkrit yang boleh digerakkan di seluruh enam lorong bagi menampung permintaan trafik di jambatan itu.
Seorang pengguna yang terselamat dari nahas kemalangan di atas jambatan itu pada 2008, Dr. Grace Dammann turut hadir dalam majlis perasmian penghalang baharu berkenaan pada minggu lalu.
Dammann sebelum ini mendesak penghalang jalan yang lebih selamat selepas lumpuh akibat kemalangan yang berlaku.
Wanita itu yang menceritakan semula kemalangan tersebut berkata, dia memutuskan untuk menggunakan laluan tersebut selepas dia dan anak perempuannya terlewat ke destinasi manakala individu yang melanggar mereka, Brian Clark yang dari arah bertentangan pula baharu mengetahui bapanya menghidap barah.
“Dia pengsan ketika memandu dan terbabas lalu melanggar kereta saya,” kata Dammann.
Wanita itu berkata, dia dan Clark kini menjadi rakan baik selain bersama mendesak pihak berkuasa meluluskan penggunaan penghalang keselamatan berkenaan. - Utusan Online
Tahukah anda terdapat satu cara untuk jimatkan penggunaan kredit telefon anda? Jom lihat plan ini