Wanita teruk dibelasah bekas kekasih
KUALA TERENGGANU - Seorang wanita terpinga-pinga apabila secara tiba-tiba diserang bekas kekasihnya yang dipercayai tidak menyukai mangsa bekerja di daerah ini, dalam satu kejadian di Jalan Banggol, di sini, awal pagi kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, mangsa berusia 20 tahun diserang di hadapan sebuah kedai.
Menurut sumber, sejurus ternampak kelibat mangsa, suspek dipercayai terus naik hantu sebelum bertindak zalim menumbuk wajah mangsa.
“Tidak cukup dengan itu, suspek bertindak lebih kejam apabila menendang seluruh badan mangsa bagi melepaskan perasaan amarahnya,” katanya.
Kata sumber lagi, suspek dipercayai bertindak sedemikian rupa kerana tidak ‘merestui’ mangsa mencari kerja di bandar raya ini walaupun hubungan mereka sudah berakhir.
Katanya, mangsa yang berasal dari Kuala Berang, Hulu Terengganu, dipercayai berada di daerah ini untuk mencari kerja.
Selepas diperlakukan sedemikian rupa, mangsa nekad membuat laporan di Balai Polis Kuala Terengganu beberapa jam kemudian.
Meskipun tidak mengalami kecederaan berat, mangsa tetap mengambil keputusan membuat laporan kerana bimbang keselamatan dirinya pada masa akan datang.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Idris Abd Rafar ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dan menurutnya kes sedang dalam siasatan.-Sinar Harian
Tahukah anda terdapat satu cara untuk jimatkan penggunaan kredit telefon anda? Jom lihat plan ini